REEZAL (kiri) bertanya sesuatu kepada Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO Ihsan BAM
REEZAL (kiri) bertanya sesuatu kepada Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yakin tiada penularan wabak daripada kelompok kluster sukan sekiranya pendekatan yang diambil oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadi contoh kepada persatuan lain.

Beliau yang hadir meninjau Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia berpuas hati dengan usaha yang dilakukan oleh BAM itu.

Ia membuktikan kemampuan BAM menganjurkan pertandingan dalam norma baharu dan mengikuti segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau turut memuji langkah BAM dalam mempersiapkan barisan pemainnya menghadapi saingan Piala Thomas/Uber dan yang penting Olimpik Tokyo tahun depan.

"Ini adalah langkah yang amat baik apabila pemain dapat meningkat prestasi masing-masing menjelang Piala Thomas dan Uber.

"Apa yang lebih penting adalah kesemua pemain dapat bersama termasuk junior dan senior. Ia satu pendekatan yang cukup baik apabila kita tempatkan mereka bersama di ABM (Akademi Badminton Malaysia).

"Saya yakin kalau ini berterusan dalam keadaan norma baharu, tiada penularan dari kelompok kluster sukan," katanya.

Tegas Reezal, beliau yakin pendekatan BAM ini akan memberi satu motivasi khasnya buat pemain junior dan ia amat berbeza ketika mereka tinggal berasingan.

BAM antara persatuan sukan yang memulakan kejohanan dalaman mengikut SOP yang ditetapkan. Tiada penonton dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan berlangsung.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 8:27 PM