ANTARA aksi Negeri Sembilan bertemu Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin. FOTO FB FA Selangor
ANTARA aksi Negeri Sembilan bertemu Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin. FOTO FB FA Selangor
Mohd Amin Jalil


KEKALAHAN kepada Selangor pada aksi persahabatan pertama pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak membuatkan pasukan Negeri Sembilan berada dalam tekanan menjelang bersambung aksi Liga Perdana musim ini, 26 Ogos ini.

Skuad Hobin Jang Hobin ternyata belum mendapat rentak terbaik apabila tewas 0-3 kepada skuad Merah Kuning, dalam aksi itu yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Ketua jurulatih, Sazali Saidun akui keputusan perlawanan itu sedikit meresahkannya, namun yakin usaha memperbaiki sebarang kelemahan dalam pasukan itu masih ada.

Katanya, gandingan pemain muda yang diturunkan pada sebahagian tempoh perlawanan tidak dapat mengimbangi kekuatan skuad bimbingan B Sathianathan, yang menampilkan semua pemain utama.

"Berbanding pada separuh masa pertama, pemain senior yang diturunkan dapat membentuk kombinasi mantap serta berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan dalam mengekang jentera serangan lawan.

"Bagaimanapun pada separuh masa kedua di mana pemain muda yang diberikan tugas gagal mengimbangi kekuatan lawan hingga memberi ruang pemain Selangor menjaringkan tiga gol," katanya di sini, hari ini.

Menurut Sazali, lima bulan tanpa perlawanan kerana berhadapan sekatan PKP bagi menangani wabak Covid-19, ternyata memberi impak kepada persembahan anak buahnya.

"Ini perlawanan pertama buat pemain selepas liga terhenti sejak 16 Mac lalu. Apa pun masih ada ruang untuk kita perbaiki kelemahan," katanya.

Pengendali berasal dari Johor itu berkata, pasukannya akan bertemu Felda United FC pada aksi persahabatan kedua di Paroi, malam esok dan beliau berharap pemain dapat

tunjukkan kombinasi lebih mantap dan menjaringkan gol.

"Kita sedar pemain perlu mendapatkan semula rentak terbaik sebelum berdepan cabaran menentang Terengganu FC II (TFC II) di laman sendiri, 26 Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 8:56 PM