CHENG Hoe sudah hampir setahun tidak mengendalikan mana-mana pasukan. FOTO NSTP
CHENG Hoe sudah hampir setahun tidak mengendalikan mana-mana pasukan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim

HAMPIR setahun tidak bersama pasukan nyata membuatkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak dapat menyembunyikan perasaan rindunya untuk melatih pasukan di atas padang.

Bukan hanya soal tuntutan kerja, namun ia lebih daripada itu dengan faktor kepuasan untuk melihat peningkatan pasukan adalah fokus utama Cheng Hoe yang berjaya mengubah nasib pasukan negara ketika ini.

Sejak beliau memimpin pasukan pada Disember 2017 perubahan demi perubahan dapat dilihat terutamanya peningkatan mendadak ranking negara daripada kedudukan ke-175 dunia kini berjaya melonjak ke tangga ke-154 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Selain itu, kejayaan muncul naib juara Piala AFF pada 2018 serta prestasi cemerlang dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan Malaysia kini di tempat kedua dalam Kumpulan G menghadirkan sedikit harapan untuk layak ke pusingan berikutnya dalam kelayakan itu.

Bagaimanapun, penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia sejak Mac lalu menyaksikan semua kejohanan anjuran FIFA dan AFC terpaksa ditunda ke tahun depan sehingga wabak ini berakhir.

"Dari segi pemain memang mereka dah agak lama tak beraksi dalam peringkat antarabangsa atau kejohanan.

"Dalam pada masa yang sama saya rasa pemain pun mahu dan tunggu juga perlawanan antarabangsa. Mereka (pemain) juga nak tunjukkan adanya peningkatan begitu dengan saya.

"Sebagai jurulatih saya juga nak lihat peningkatan dari tahun lepas ke tahun ini tetapi disebabkan Covid-19 kita kena akur.

"Dari segi jurulatih saya tak dapat bersama pemain-pemain, saya rasa nak kata sedih bukan sedih, tetapi lebih kepada rasa satu kepuasan sebagai jurulatih kerana sentiasa nak turun berlatih.

"Dalam latihan kita dapat tengok prestasi pemain dan saya juga sendiri mahu menilai diri sendiri kerana sebagai jurulatih banyak lagi saya perlu belajar," katanya.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah pada November tahun lalu dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di mana pasukan negara berjaya meraih enam mata hasil kemenangan 2-1 dan 2-0 ke atas Thailand serta Indonesia yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 5:38 PM