X
Lionel Messi (kanan) bersama Luis Suarez tonggak serangan Barcelona. FOTO Agensi
Lionel Messi (kanan) bersama Luis Suarez tonggak serangan Barcelona. FOTO Agensi
AFP

LIONEL Messi memberitahu Barcelona yang dia mahu menamatkan kontraknya bersama kelab gergasi Sepanyol itu, menurut sumber kelab berkenaan.

Peguam yang mewakili bintang Argentina itu menghantar faks kepada Barcelona yang antara kandungannya mengatakan keinginan Messi untuk mengakhiri kontraknya menerusi klausa pelepasan.

Bagaimanapun, kelab berkenaan mengekalkan klausa yang tamat pada Jun dan mengikut kontrak dia akan beraksi bersama pasukan sehingga penghujung musim 2021.

"Mengikut prinsipal, klausa ini akan berakhir pada 10 Jun, tetapi dengan situasi luar biasa musim ini yang tertangguh akibat Covid-19, ia membuka peluang buat Messi untuk meminta dilepaskan daripada kontraknya."

"Ia adalah langkah pertama untuk memulakan rundingan perpindahan menerusi klausa pelepasan yang bernilai 700 juta Euro (RM3.45 bilion)." menurut laporan media sukan Sepanyol, Marca.

Menurut laporan media Sepanyol, Messi bertemu dengan jurulatih baharu Barca, Ronald Koeman minggu lalu dan memberitahu pengendali dari Belanda itu bahawa keinginannya untuk mengubah angin dan keluar dari kelab berkenaan.

"Era kegemilangan Leo Messi di Barcelona tampak semakin berada di penghujung.

"Selepas kehadiran Ronald Koeman, nasib rakan sepasukan Messi, Luis Suarez yang dilaporkan turut berhasrat mengangkat kaki dari kelab itu susulan musim yang sukar." menurut stesen radio, Once.

Barcelona mencatat kekalahan memalukan 2-8 ke atas Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon awal bulan ini.

Seterusnya membawa kepada penyingkiran jurulatih, Quique Setien selepas hanya enam bulan mengambil alih tugas pengendali kelab itu.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 9:07 AM