HAVERTZ sah berhijrah ke Chelsea. FOTO AFP
HAVERTZ sah berhijrah ke Chelsea. FOTO AFP
AFP

CHELSEA melaburkan hampir £200 juta (RM1.10 bilion) pada musim perpindahan pemain dengan terbaharu menandatangani bintang antarabangsa Jerman, Kai Havertz dari Bayer Leverkusen menerusi kontrak selama lima tahun.

Havertz yang tiba di Stamford Bridge dengan nilai perpindahan dilaporkan sekitar £71 juta (RM391 juta), adalah satu lagi langkah Chelsea untuk merapatkan jurang dengan Liverpool dan Manchester City di tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 21 tahun itu yang boleh beraksi di bahagian tengah dan serangan, menyertai rakan senegara, Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell dan Thiago Silva di bawah bimbingan Frank Lampard pada musim keduanya di Chelsea.

Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tangga keempat, ketinggalan 33 mata di belakang Liverpool yang muncul juara.

"Saya sangat gembira dan bangga dapat berada di sini. Bagi saya, ia umpama impian menjadi kenyataan untuk beraksi bersama kelab gergasi seperti Chelsea," kata Havertz di dalam laman web Chelsea.

Havertz menjaringkan 46 gol daripada 150 perlawanan kompetitif bersama Leverkusen termasuk 18 gol pada musim lalu namun ia masih belum cukup untuk bekas kelabnya itu kembali ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Bundesliga di kedudukan kelima.

Havertz berminat untuk berhijrah ke pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara dan Chelsea pantas menyambar pemain itu.

"Kai adalah antara pemain terbaik dalam usianya di dunia bola sepak. Kami sangat gembira dia memilih bersama Chelsea.

"Dia membuktikan kemampuannya bersama salah satu liga terbaik di Eropah, dia beraksi bersama skuad kebangsaan Jerman dan seorang pemain yang sangat berbakat," kata pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 7:38 AM