Aidil Sharin Sahak (empat dari kiri) bersama pemain Kedah ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP
Aidil Sharin Sahak (empat dari kiri) bersama pemain Kedah ketika menjalani latihan. FOTO File NSTP
Izzali Ismail


WALAUPUN sudah menyatakan kesetiaannya bersama Kedah, Ketua Jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak masih merasa resah apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) belum memulakan sebarang perbincangan awal mengenai kedudukannya sebagai Ketua Jurulatih Kedah untuk musim depan.

Perbincangan ini perlu bagi sedikit sebanyak untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perancangan yang akan dilakukan KFA termasuk menjelaskan isi hatinya secara dekat selepas terdapat laporan berita beberapa pasukan Liga Super dikatakan sudah memberi 'isyarat' untuk mendapatkan khidmatnya untuk musim depan.

Menurut Aidil yang kontraknya bakal berakhir pada hujung musim ini berkata, beliau masih menanti pihak KFA yang belum bersemuka dengannya bagi membincangkan hal kerjaya dan perancangan untuk musim depan.

"Kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah mula membuat perancangan awal yang diperlukan untuk hala tuju pasukan musim depan, tetapi saya masih belum menerima apa-apa perbincangan seperti yang saya harapkan.

"Jika saya tidak menerima apa-apa rundingan atau perbincangan daripada KFA hingga pertengahan September ini, saya terpaksa membuat perancangan melalui tawaran yang diberikan oleh kelab lain.

"Agak hairan juga apabila tiada wakil KFA yang datang untuk memberi gambaran kedudukan saya untuk musim depan dan sebagai jurulatih profesional, saya berharap perkara ini perlu dimulakan seawal mungkin.

Aidil juga berkata, jika masih tiada perbincangan, beliau merasakan seolah dirinya dibiar tanpa perancangan dan merasakan dirinya tidak dihargai setelah apa yang beliau korbankan untuk Kedah selama ini.

"Jika Kedah masih memerlukan khidmat saya, mereka perlu bertindak lebih cepat dalam rundingan awal ini dan inilah yang saya harapkan.

"Sebagai ketua jurulatih profesional, saya juga perlu membuat perancangan teliti mengenai masa depan saya dalam pasukan serta hala tuju kerjaya saya untuk masa depan.

"Saya berharap KFA dapat menyatakan perancangan yang mahu mereka cetuskan dengan lebih cepat agar saya dapat memberi fokus lebih baik dalam apa yang sedang saya usahakan khususnya untuk kemajuan bola sepak Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 7:20 PM