Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menyusun semula bajet untuk musim 2021 berikutan impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan jadual pertandingannya.

Keputusan penyusunan semula belanjawan AFC diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kewangan AFC secara sebulat suara hari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC bagi penggal 2019-2023, turut serta dalam mesyuarat kewangan jawatankuasa itu yang kedua secara maya.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC, Mariano V Araneta Jr. Mesyuarat yang pertama dahulu diadakan di AFC House pada 19 November tahun lalu sebelum wabak Covid-19 melanda seluruh dunia.

"Susulan impak pandemik Covid-19, kebanyakan perlawanan ditunda ke tahun 2021, menjadikan simpanan kewangan bagi tahun 2020 meningkat. Mesyuarat memutuskan simpanan kewangan itu dibawa ke hadapan untuk tahun 2021.

"Justeru, bagi perlawanan seperti Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC, jawatankuasa kewangan AFC meluluskan penambahan bajet sejajar dengan persiapan dan penjadualan baharu bagi baki empat bulan tahun ini dan 2021 juga bajet Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita AFC," katanya.

Dalam pada itu, Hamidin juga berkata mesyuarat berkenaan membincangkan subsidi yang akan diagihkan kepada 12 pasukan yang layak ke pusingan akhir Zon Asia Kelayakan Piala Dunia 2022.

"Mesyuarat juga mengemas kini prestasi kewangan dan peruntukan serta penyusunan semula bajet sepanjang tahun ini dalam berdepan impak Covid-19.

"Meskipun berdepan impak pandemik Covid-19, ia tidak menjejaskan peruntukan bajet bagi setiap perlawanan yang dijadualkan tahun ini meskipun ditunda ke Mac tahun depan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 8:28 PM