Sebahagian pemain Negeri Sembilan gigih menjalani latihan. FOTO Ihsan PBNS.
Sebahagian pemain Negeri Sembilan gigih menjalani latihan. FOTO Ihsan PBNS.
Mohd Amin Jalil


SELEPAS kempunan mengutip mata apabila tewas kepada Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana, Jumaat lalu, Negeri Sembilan tidak rela nasib serupa menimpa mereka berdepan Selangor II, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

Pemain tengah berpengalaman, Shahurain Abu Samah berkata, pasukannya perlu menang dan mengutip tiga mata pada perlawanan ketujuh itu, bagi memastikan peluang bersaing memburu tempat terbaik dalam carta, tidak tersasar.

Katanya, kekalahan dengan Selangor II sudah pasti akan meletakkan skuad Hobin Jang Hobin ketinggalan jauh dengan pencabar lain ketika aksi liga berbaki lima perlawanan.

"Kami perlu turun dengan persiapan mantap dan fokus kepada memburu kemenangan kerana ia amat penting dalam meletakkan pasukan pada kedudukan lebih baik.

"Walaupun Selangor II dibarisi pemain muda, namun kami tidak boleh leka dan perlu berhati-hati dengan strategi mereka yang dilihat berupaya menyekat hasrat pasukan mendapatkan kemenangan.

"Justeru, kami perlu gunakan peluang dan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan sebaik mungkin bagi mengutip tiga mata," katanya.

Bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak asing dalam skuad Negeri Sembilan itu berkata, setiap pemain perlu fokus sepanjang tempoh 90 minit permainan dan menggunakan setiap peluang bagi menjaringkan gol.

"Kekalahan kepada Pulau Pinang tempoh hari perlu dilupakan segera dan terus fokus kepada cabaran dalam perlawanan Sabtu ini, kerana hanya dengan kemenangan saja mampu meletakkan pasukan dihormati," katanya.

Jika diturunkan Sabtu ini, Shahurain bertekad memberikan persembahan terbaik dalam membantu pasukan meraih kemenangan.

"Keputusan di tangan jurulatih, namun saya berharap dapat disenaraikan kerana ingin membantu barisan depan melaksanakan tugas mereka dengan lebih cemerlang dan menjaringkan gol kemenangan," kata pemain kelahiran Kajang, Selangor itu.

Ketika ini, Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman menduduki tangga ketujuh carta Liga Perdana dengan mengutip enam mata berbanding Selangor II di tangga kelima dengan 10 mata, selepas masing-masing beraksi enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 7:05 PM