PEMAIN Pulau Pinang, Da Silva dikasari pemain JDT II, Liridon Krasniqi pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN Pulau Pinang, Da Silva dikasari pemain JDT II, Liridon Krasniqi pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pulau Pinang gah di persada Liga Perdana selepas menang tipis 2-1 menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu pasti melonjakkan moral skuad bimbingan Manzoor Azwira Wahid yang kini berbaki empat perlawanan lagi memburu slot ke saingan Liga Super selepas pada musim lalu terpaksa menggigit jari akibat pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa).

Arahan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas Pulau Pinang gagal mengikut arahan dan tempoh yang ditetapkan kerana gagal menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan itu selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Namun Pulau Pinang yang mengutip 17 mata tampak diberi cabaran hebat daripada Kuala Lumpur yang turut mengumpul mata yang sama dan berkedudukan di tangga kedua tatkala dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Keinginan skuad Haria Penang Haria memburu kemenangan dibuktikan seawal minit keempat selepas Khairu Azrin Khazali yang tidak dikawal mengambil kesempatan merembat bola dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Haziq Nadzli.

Pelawat menggandakan asakan untuk memburu gol kedua apabila bola rembatan leret Anselmo Da Silva di luar kotak penalti pada minit ke-12 memaksa Haziq merebahkan badan untuk menampan bola sebelum di keluarkan kapten, Kiko Insa.

Serang balas tuan rumah pada minit ke-28 hampir menyamakan jaringan namun bola sepakan leret Fernando Rodriguez yang berjaya mengelirukan Sommerville gagal melakukan penyudah selepas diselamatkan pertahanan lawan biarpun pintu gol terbuka luas.

Pemburuan tuan rumah untuk mencipta gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-30 selepas bola tandukan Feroz Baharuddin hasil sepakan sudut Kei Hirose gagal diselamatkan Sommerville untuk mengikat jaringan 1-1.

Berbaki dua minit babak pertama untuk ditamatkan, pelawat kembali mendahului dengan jaringan 2-1 selepas gerakan menarik Lee Chang Hoon yang melintangkan bola membolehkan Endrik Parafita yang tidak di kawal melakukan sepakan voli yang menewaskan Haziq.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak beraksi dengan corak permainan berhati-hati dan gagal mengundang percubaan yang boleh menghasilkan jaringan dan kedudukan 2-1 yang memihak Pulau Pinang kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 11:21 PM