Pemain UKM (tengah) diasak pemain Kelantan United pada aksi Liga Perdana di Stadium Selayang, Jumaat lalu. Ihsan FB UKM FC
Pemain UKM (tengah) diasak pemain Kelantan United pada aksi Liga Perdana di Stadium Selayang, Jumaat lalu. Ihsan FB UKM FC
Mohd Amin Jalil


SKUAD Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC kembali yakin dengan keupayaan mereka untuk mengharungi cabaran dalam baki saingan Liga Perdana musim ini, selepas mencatat kemenangan 1-0, ke atas Kelantan United, di Selayang, Jumaat lalu.

Ketua jurulatihnya, ‎Sulaiman Hussin berkata, walaupun sekadar kemenangan tipis, tetapi ia tetap bermakna dalam usaha pasukan memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

"Pemain sudah mula sedar betapa liga sudah menghampiri penghujungnya dengan hanya berbaki empat perlawanan yang akan dihadapi.

"Justeru, mereka berusaha keras mempamerkan prestasi yang baik bukan sahaja untuk membantu pasukan mendapatkan kemenangan, tetapi juga untuk promosi diri mereka sendiri bagi menghadapi musim depan.

"Saya sudah mengingatkan mereka perlu menggunakan baki perlawanan ini sebagai medan terbaik menonjolkan kemampuan sebenar dalam persembahan masing-masing," katanya.

Mengenai perlawanan berikutnya menentang Terengganu FC II (TFC II) di tempat lawan Ahad ini, pengendali itu berkata tugas UKM amat mencabar bukan sahaja ketika berdepan TFC II, tetapi juga untuk tiga lagi baki perlawanan.

Menurutnya, selain TFC II, skuad bimbingannya akan berhadapan pendahulu liga, Pulau Pinang (26 September), disusuli Selangor II (2 Oktober) dan terakhir bertemu Perak II pada 9 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:37 PM