Chong Wei bangga jadi rakyat Malaysia. FOTO FB Lee Chong Wei
Chong Wei bangga jadi rakyat Malaysia. FOTO FB Lee Chong Wei
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei bangga menjadi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Legenda badminton negara itu menyeru seluruh rakyat Malaysia meneruskan perjuangan nenek moyang yang sebelum ini berjuang bersama bagi membentuk Malaysia.

"57 tahun lalu, moyang kita berjuang bersama dan memberikan rumah yang dinamakan Malaysia. Tanpa mereka, manalah kami?

"57 tahun kemudian, adalah perlu untuk kita mengambil semangat mereka dan meneruskan perjuangan demi generasi akan datang.

"Tidak kira siapa anda, di mana anda berada, tidak kira bangsa agama, selagi anda rakyat Malaysia, anda patut bangga.

"Saya rasa bangga sekali menjadi rakyat Malaysia. Malaysia tidak pernah berseorangan, kita kuat sebab kita 'rojak'.

"Saya percaya saya sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan saya akan terus melakukannya selagi saya hidup. Saya juga harap anak saya akan memainkan peranannya demi negara yang tercinta," kata Chong Wei menerusi laman Facebook miliknya sempena Sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu turut mengajak rakyat Malaysia untuk bercuti dalam negara.

"Lupakan percutian di luar negara, pergilah cuti-cuti Malaysia dan bantu antara satu sama lain #KitaJagaKita. Yang tidak pernah naik Gunung KK (Kinabalu), Gunung Stong, Pulau Sipadan, Perhentian, Mulu...anda patut lakukannya.

"Malaysia mempunyai banyak tempat menarik. Apa pengalaman cuti-cuti Malaysia terbaik anda?," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:42 PM