Stadium Mini Jitra menjadi pusat latihan skuad Lang Merah sejak semalam. FOTO Izzali Ismail
Stadium Mini Jitra menjadi pusat latihan skuad Lang Merah sejak semalam. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


LATIHAN skuad Lang Merah tetap berjalan lancar, teratur dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melakukan pertukaran venue latihan dari Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Alor Setar sebelum ini ke Stadium Mini Jitra, di Jitra sejak semalam.

Ini ekoran daerah Kota Setar yang menjalani tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu.

Pengurus Pasukan Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan berkata skuad Kedah tetap ceria menjalani latihan seperti biasa meskipun tempat latihan ditukar ke luar daerah iaitu di Stadium Mini Jitra yang berada dalam daerah Kubang Pasu.

"Alhamdulillah, sesi latihan yang kita jalankan semalam di Stadium Mini Jitra berjalan seperti biasa dengan lancar, lengkap dan teratur.

"Reaksi pemain tetap nampak ceria seperti biasa dan mereka nampak terus fokus dengan perancangan jurulatih untuk persiapan menentang Sabah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 21 September ini.

"Kita akur dan faham dengan semua arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh PKPD ini dan kita mematuhi segala Prosedur SOP ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) secara tersusun." katanya.

Al-Naliq juga berkata, latihan di Stadium Mini Jitra yang berada di luar kawasan Kota Setar ini akan berterusan sehingga tempoh PKPD secara pentadbiran ditamatkan.

"Latihan petang ini dibuat secara tertutup dan semua pemain dilihat dapat menyesuaikan diri dalam latihan dengan peralatan latihan yang mencukupi kerana kita ambil dari Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) ke sana.

"Namun kita juga ada beberapa pilihan padang latihan lain selain dari padang Stadium Mini Jitra ini untuk kita pilih, dan ini akan ditentukan jika berdepan faktor cuaca semasa.

"Dalam masa yang sama, KFA juga meningkatkan faktor keselamatan untuk pasukan apabila turut menyediakan anggota keselamatan yang turut mengawal tempat latihan semasa latihan dijalankan bermula jam 5 petang".

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 8:17 PM