PERTEMUAN antara JDT menentang Perak  mencatatkan 740,000 jumlah tontonan. FOTO Facebook JOHOR Southern Tigers.
PERTEMUAN antara JDT menentang Perak mencatatkan 740,000 jumlah tontonan. FOTO Facebook JOHOR Southern Tigers.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Siapa kata Liga Malaysia (Liga M) sendu dan kurang sambutan?

Walaupun peminat bola sepak tidak dibenarkan memasuki stadium berikutan pandemik Covid-19, situasi itu memberi impak positif apabila jumlah tontonan aksi Liga M menerusi medium YouTube ketika ini mencatatkan purata hampir setengah juta tontonan untuk setiap perlawanan.

Ini membuktikan Liga M terutama saingan elit Liga Super yang menampilkan 12 pasukan terbaik negara masih memiliki aura dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Sepanjang tempoh hampir tiga minggu saingan Liga M bersambung, tayangan menerusi medium YouTube Unifi merekodkan lebih 3 juta penonton secara keseluruhan membabitkan 18 perlawanan.

Perlawanan yang mendapat jumlah tontonan tertinggi adalah pertemuan membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Perak.

Pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan skuad Harimau Selatan menang besar 7-0 mengalahkan pasukan Bos Gaurus hingga mampu mencatatkan 740,000 jumlah tontonan.

Selain itu, perlawanan Felda United menentang Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, pula mencatatkan jumlah penonton kedua tertinggi iaitu 439,000 tontonan.

Kedah membuktikan mempunyai kelompok peminat yang ramai apabila pertemuan skuad Helang Merah bertemu PJ City 5 September lalu mencatatkan jumlah 380,000 tontonan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, faktor yang menyaksikan peningkatan jumlah tontonan luar biasa membabitkan perlawanan Liga M adalah disebabkan orang ramai tidak boleh hadir ke stadium.

Beliau berkata, situasi terbabit membuktikan industri bola sepak negara tidaklah sendu, malah semakin rancak dengan orang ramai tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan masing-masing beraksi.

"Sudah tentu perlawanan Liga M terutama membabitkan pasukan tertentu mendapat sambutan hangat daripada penonton sekali gus membantu meningkatkan jumlah tontonan menerusi platform dalam talian.

"Walaupun penyokong bola sepak tanah air tidak boleh ke stadium, mereka masih mencari platform yang ada untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 7:01 AM