Nasihin (dua dari kanan) ketika melatih skuad wanita negara sekitar 2015. FOTO File NSTP
Nasihin (dua dari kanan) ketika melatih skuad wanita negara sekitar 2015. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


TEKA-teki siapakah bakal menjawat jawatan ketua jurulatih skuad hoki wanita negara akhirnya terjawab apabila Mohd Nasihin Nubli Ibrahim diberi kepercayaan menggalas jawatan itu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal ketika mengumumkan perkara itu berkata, bekas penjaga gol skuad negara itu akan menggalas tugas berkenaan dengan kontrak selama dua tahun.

"Ada beberapa sebab mengapa kami memilih Nasihin. Pertamanya dia pernah menggalas jawatan sama antara 2011 sehingga 2015.

"Namun ketika itu tidak banyak peruntukan diberikan kepada skuad wanita, jadi agak terhad untuknya menjalankan tugas. Tapi dia masih lagi dapat meraih beberapa keputusan baik untuk skuad negara.

"Namun yang paling penting ialah Nasihin berjaya meyakinkan kami menerusi pembentangan dilakukannya termasuklah apakah program dan perancangan yang mahu dilakukan ke atas skuad wanita.

"Jadi selepas menyenarai pendek empat nama dengan dua daripadanya adalah jurulatih asing, kami akhirnya memutuskan untuk memilih Nasihin yang akan menggalas tugas berkuat kuasa serta merta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan hari ini.

Berhubung tugas Nasihin selaku jurulatih penjaga gol di dalam skuad kebangsaan lelaki sebelum ini, Subahan berkata Arul Selvaraj selaku ketua jurulatih skuad lelaki akan memilih penggantinya.

"Ia mungkin sama ada Roslan Jamaluddin atau S Kumar. Kami serahkan kepada Arul untuk membuat pilihan," katanya.

Sejak jawatan itu dibuka untuk diisi dengan tarikh akhir permohonan 31 Januari lalu, seramai 23 individu mengemukakan permohonan dengan bekas jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 5:56 PM