REEZAL Merican. FOTO Arkib NSTP
REEZAL Merican. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 ditunda pada 2 hingga 10 April depan, iaitu selepas Para SUKMA Johor 2020 diadakan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi temasya itu, hari ini.

Katanya, keputusan itu dicapai selepas mengambil kira 171 atlet bertanding menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1 hingga 9 Mac depan.

"Oleh itu, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 membuat pindaan dengan mengelolakan dahulu Para SUKMA 2020 pada 8 hingga 13 Mac 2021.

"Ia akan diikuti dengan penganjuran SUKMA 2020 Johor pada 2 hingga April 2021.

"Ini adalah pertama kali penganjuran Para SUKMA dikelolakan lebih awal daripada SUKMA, " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Dato Jaafar, Kota Iskandar di sini, hari ini.

April lalu, media melaporkan Penganjuran SUKMA Johor 2020 dijadual berlangsung dari 6 hingga 14 Mac manakala Para SUKMA 2020 dijadual 5 hingga 10 April tahun depan, selepas ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

SUKMA ke-20 sepatutnya berlangsung di negeri ini pada Julai lalu sebelum diikuti Para SUKMA yang sepatutnya berlangsung bulan lalu.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, beliau optimis SUKMA Johor 2020 mampu diadakan seperti dijadualkan di sebalik ketidaktentuan akibat Covid-19.

Namun katanya, KBS akan mengambil sikap berhati-hati dan tidak akan terburu-buru membuat apa-apa keputusan berdasarkan situasi semasa.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 bagi penentuan terakhir akan kita adakan pada Disember ini.

"Walaupun ada segelintir pihak menyarankan SUKMA Johor 2020 dibatalkan, ia sebenarnya akan menghantar isyarat yang salah pada komuniti sukan terutama aspek latihan atlet, kejurulatihan selain penajaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA pula mencadangkan ia diadakan secara bergilir iaitu dua tahun dianjurkan di negeri-negeri.

"Manakala dua tahun seterusnya pula dilangsungkan di Lembah Klang yang sudah memiliki fasiliti dan kemudahan sukan bertaraf dunia.

"Jadi ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar setiap dua tahun iaitu suku bilion setiap kali penganjurannya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:25 PM