Mohamadou Sumareh.
Mohamadou Sumareh.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Tiada istilah lampu hijau atau beri kebenaran kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk memulakan rundingan dengan tonggak naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh untuk menyunting pemain terbabit bersama pasukan berkenaan.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya memberitahu status semasa pemain berkenaan berdasarkan maklumat yang diperoleh saja sekali gus tiada kaitan dalam perbincangan antara kedua-dua pihak terbabit.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ada menghubunginya untuk bertanyakan status pemain naturalisasi negara itu.

"Benar Johan ada menghubungi saya tetapi beliau sekadar bertanyakan status Sumareh dengan Pahang FA.

"Saya memberi keterangan kepadanya berdasarkan status kes, yang mana mengikut pemahaman ketika itu Sumareh sudah membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan Pahang FA menggunakan klausa yang tertentu yang terkandung di dalam kontraknya," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. FOTO File NSTP

Stuart menjelaskan, hal ini kerana FAM ialah badan induk sukan bola sepak yang tidak mempunyai hak memberi sebarang kebenaran yang dimaksudkan.

"Sumareh bukan dimiliki FAM yang mana segala maklumat peribadi, terperinci atau kebenaran hanya membabitkan pemain itu sendiri dan pasukannya," katanya.

Sebelum ini, Johan memaklumkan pihaknya sudah diberi 'lampu hijau' oleh FAM untuk memulakan rundingan bersama Sumareh.

Berdasarkan laporan terbabit, Johan mempertahankan FAS dengan mengatakan pihaknya tidak melanggar sebarang peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 9:55 PM