Manzoor Azwira Abdul Wahid
Manzoor Azwira Abdul Wahid
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur : Keyakinan Pulau Pinang semakin memuncak dalam pemburuan gelaran juara Liga Perdana buat kali pertama selepas cemerlang dengan rekod bersih tanpa kalah dalam lapan perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid kekal di tangga teratas liga selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur, Sabtu lalu dengan jumlah 20 mata setakat ini, namun itu masih belum menjamin adakah trofi musim ini bakal menjadi milik mereka.

Jelas Manzoor, Kuala Lumpur yang kini di tangga kedua masih berpeluang untuk mengejar kedudukan takhta liga sekiranya Pulau Pinang gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam baki tiga perlawanan akan datang memandangkan dua pasukan ini hanya dipisahkan dengan tiga mata sahaja.

Justeru, amat penting untuk barisan pemain kekal fokus bagi memastikan pasukan kekal dengan rekod bersih tanpa kalah apabila bakal berdepan UKM FC, Kelantan United dan Terengganu II selepas ini.

"Saya bersyukur kerana kita mendahului tiga mata kerana saingan daripada Kuala Lumpur sebenarnya agak kuat dan ia bukan satu perlawanan yang mudah.

"Tetapi, Pulau Pinang belum lagi bergelar juara Liga Perdana dan tiga perlawanan lagi amat penting kerana tidak mustahil Kuala Lumpur boleh menang untuk mengejar kedudukan.

"Kami akan cuba pertahankan kedudukan ini daripada segi jaringan dan jumlah mata untuk memastikan kita betul-betul sah menjadi juara nanti," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Kumbang itu mengesahkan tiket ke Liga Super musim depan selepas menewaskan skuad Warga Kota berdasarkan jurang sembilan mata dengan Kelantan di tangga kelima.

Walaupun JDT II dan Terengganu FC II mengisi kedudukan ketiga dan keempat, mereka tidak layak untuk dinaikkan ke Liga Super kerana hanya berstatus pasukan pembangunan yang tidak boleh beraksi dalam satu liga dengan pasukan utama masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 9:22 PM