EDOUARD Mendy. FOTO Agensi
EDOUARD Mendy. FOTO Agensi
AFP

London: Chelsea hari ini menandatangani penjaga gol Edouard Mendy dari kelab Ligue 1, Rennes dengan yuran perpindahan £22 juta (RM116 juta) dan kontrak lima tahun.

Pemain antarabangsa Senegal itu akan bersaing dengan penjaga gol utama, Kepa Arrizabalaga yang bergelut dengan prestasi dan keyakinan di Stamford Bridge.

Dia pemain senior ketujuh ditandatangani Frank Lampard selepas kehadiran Timo Werner, Hakim Ziyech, Ben Chilwell, Kai Havertz, Thiago Silva dan Malang Sarr.

"Saya sangat gembira dapat menyertai Chelsea,'' kata Mendy. ''Menjadi impian saya menjadi anggota skuad hebat ini dan bekerjasama dengan Frank Lampard dan semua barisan kejurulatihan.

"Saya teruja mahu berjumpa rakan sepasukan dan rasa tak sabar memulakan latihan.''

Penjaga gol yang tingginya 1.96 meter itu mengekalkan rekod bersih dalam 24 aksi Ligue 1 musim lalu dengan membantu Bretons menduduki tangga ketiga dan layak ke Liga Juara-Juara kali pertama dalam sejarah kelab.

Walaupun dilahirkan di Perancis, Mendy, 28, memilih beraksi untuk Senegal di peringkat antarabangsa.

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia berkata: "Kehadiran Edouard bersama prestasi cemerlangnya bersama Rennes. Dia bercita-cita tinggi dan kami mengalu-alukan kedatangannya ke kelab ini.''

Kepa yang dibeli oleh Chelsea pada 2018 dengan harga £72 juta (RM382 juta) kerap melakukan kesilapan dan dua kali digugurkan oleh Lampard musim lalu dan digantikan dengan Willy Caballero yang berusia 38 tahun.

Kesilapan terakhirnya ialah ketika menentang Liverpool pada Ahad lalu yang membolehkan Sadio Mane menjaringkan gol kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 9:32 PM