KHAIRY menang tanpa berttanding jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan. FOTO NSTP
KHAIRY menang tanpa berttanding jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bakal berwajah baharu dengan penambahbaikan program akar umbi lebih sistematik dan menyeluruh dapat dilaksanakan jika bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerajui tampuk kepimpinan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) nanti.

Bekas pelumba kebangsaan, Sayuti Zahit berkata, pembaharuan secara menyeluruh termasuk melakukan perubahan membabitkan barisan kepimpinan PKBM bakal menyaksikan skuad berbasikal negara kembali menyinar di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kehadiran Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dilihat satu petanda baik jika sukan berbasikal negara mahukan perubahan apabila diterajui pemimpin baru.

"Khairy dilihat sudah membuktikan keupayaannya apabila menerajui Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini dengan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan lagi industri sukan negara.

"Paling penting, kehadirannya akan membawa sukan basikal di era baharu dan beliau juga perlu meletakkan orang betul dalam membantunya mentadbir persatuan," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Sebelum itu, Khairy tidak berdepan masalah apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan.

Khairy dilantik sebagai Presiden baharu persatuan itu untuk dua tahun bermula 2020 hingga 2022.

Dalam ucapan pertamanya, beliau mengakui sudah merancang beberapa perubahan yang akan dilakukan termasuk menganjurkan pertandingan membabitkan laluan menarik di negeri itu.

Katanya, selain dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu, ia juga dapat mempromosikan industri pelancongan sekali gus menaikkan ekonomi penduduk setempat.

Mengikut rekod, kredibiliti Khairy sememangnya dikagumi terutama menerusi penubuhan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2014 yang dicetuskannya menyaksikan ramai bakat baharu berjaya diketengahkan termasuk penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang kini beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:46 PM