FLAMENGO berdepan denda sebanyak AS$365,000 (RM1.5 juta) jika ingkar arahan mahkamah. FOTO Agensi
FLAMENGO berdepan denda sebanyak AS$365,000 (RM1.5 juta) jika ingkar arahan mahkamah. FOTO Agensi
AFP

Sao Paulo: Mahkamah mengeluarkan perintah untuk menangguhkan perlawanan Liga Brazil selepas sekurang-kurangnya 19 pemain dan jurulatih kelab terkemuka, Flamengo diuji positif Covid-19.

Larangan itu membabitkan perlawanan esok menentang Palmeiras di Sao Paulo sekali gus memberikan masalah baru berkaitan Covid-19 membabitkan Flamengo, yang juga penyandang juara liga dan saingan peringkat Amerika Selatan.

Sebelum ini kelab dari Rio de Janeiro itu mendesak dengan lantang agar saingan bola sepak disambung semula selepas ditangguhkan akibat pandemik berkenaan.

Keputusan Mahkamah Buruh itu dibuat selepas permintaan daripada Kesatuan Pekerja Bolasepak Brazil untuk negeri Rio de Janeiro, dengan mempersoalkan perlawanan itu bakal menyebabkan pemain berdepan dengan risiko masalah kesihatan.

"Perlu diingatkan ujian dilakukan dua atau tiga hari sebelum perlawanan dilangsungkan. Memandangkan wabak menular (di Flamengo, pemain lain mungkin akan dijangkiti selepas mereka melakukan ujian," kata hakim, Filipe Olmo.

Beliau sudah menetapkan jumlah denda sebanyak AS$365,000 (RM1.5 juta) jika perlawanan tetap diteruskan.

Flamengo sebelum ini meminta agar Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) untuk menangguhkan perlawanan itu.

Bagaimanapun, CBF menolak permintaan itu, dengan memberi alasan bahawa mereka sudah mempunyai protokol kesihatan yang mencukupi dan kelab berkenaan harus bergantung harap kepada pemain simpanan.

Flamengo sudah pun dipaksa menggunakan pemain simpanan pada perlawanan sebelum ini Selasa lalu, menentang kelab Ecuador, Barcelona untuk saingan Copa Libertadores, selepas sekurang-kurangnya tujuh pemain mereka diuji positif virus berkenaan.

Mereka berjaya mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 12:40 PM