Andy Murray melakukan pukulan ketika berdepan Stan Wawrinka di Terbuka Perancis. FOTO EPA
Andy Murray melakukan pukulan ketika berdepan Stan Wawrinka di Terbuka Perancis. FOTO EPA
AFP

Paris: Andy Murray berkata 'sukar' bagi bekas pemain nombor satu dunia itu untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas kalah teruk kepada juara tiga kali Grand Slam, Stan Wawrinka pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

Murray mencatat kekalahan berturut-turut dalam kejohanan utama tatkala bergelut mengatasi juara Roland Garros 2015, Wawrinka 6-1, 6-3, 6-2 dalam perlawanan hari pembukaan itu.

"Saya perlu mempunyai tempoh yang panjang memikirkan sedalam-dalamnya mengenainya. Ia bukan aksi sebenar daripada saya kerana banyak melakukan kesilapan dan tidak memberi tumpuan," kata Murray.

"Saya harus melakukan analisa penuh dan cuba memahami kenapa prestasi saya seperti itu."

Murray, yang memerlukan wildcard untuk beraksi di Paris tahun ini, beraksi dalam kejohanan gelanggang keras buat pertama kali sejak kekalahan lima set kepada Wawrinka pada separuh akhir Terbuka Perancis 2017.

Pemain kelahiran Scotland itu mendakwa perlawanan berkenaan adalah kemuncak kepada kecederaan pinggul dihadapi menyebabkan dia terpaksa mengharungi kesakitan jangka panjang yang hampir memusnahkan kerjaya profesionalnya.

"Sukar untuk saya beraksi pada tahap sama seperti dilakukan sebelum ini," kata Murray.

"Saya kini berusia 33 tahun dan pernah berada di ranking nombor satu dunia jadi amat sukar dengan semua perkara yang saya hadapi.

"Namun saya akan terus berusaha. Kita lihat bagaimana perkembangan untuk beberapa bulan lagi dan saya akan memutuskan sama ada tidak akan beraksi dalam kejohanan seperti ini buat masa ini dan sehingga hujung tahun nanti."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 10:31 AM