FIRDAUS (kiri) gesa pasukan tepati tarikh akhir proses penswastaan pasukan.
FIRDAUS (kiri) gesa pasukan tepati tarikh akhir proses penswastaan pasukan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Daripada tiga pasukan iaitu PDRM FC, UiTM FC dan UKM FC yang berada dalam peringkat awal proses penswastaan minggu lalu, kini hanya tinggal satu pasukan yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian ketika tempoh akhir akan tamat Rabu ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, dua daripada tiga pasukan sudah bergerak dan kini dalam peringkat pertengahan dan beliau percaya ia akan sempat diselesaikan dalam tempoh 24 jam lagi.

"Daripada tiga (pasukan) itu, hanya dua nampak bergerak manakala satu lagi agak membimbangkan. Kalau hari ini satu pasukan itu tak maklumkan pergerakan mereka, mungkin sukar untuk kita bantu.

"Sebab tarikh akhir proses penswastaan takkan berubah di mana Rabu adalah hari terakhir. Mana-mana pasukan yang gagal selesaikan kita terpaksa lakukan (singkir ke liga amatur musim depan).

"Apapun, kita tunggu esok dan Rabu ini kerana mungkin pasukan itu tiba-tiba dapat selesaikannya. Kita di FAM harap semua pasukan dapat ikut garis masa yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Firdaus memuji pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang berjaya menyelesaikannya, walaupun sebelum ini dilihat bergerak agak perlahan.

"PBNP dah hampir sempurna 99 peratus dan esok mereka akan serahkan segala dokumen yang diperlukan. Saya ucapkan tahniah kepada PBNP kerana mereka cukup komited dalam menjayakan proses ini.

"Begitu juga pasukan-pasukan lain seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah juga sudah berjaya lengkapkan proses penswastaan pada minggu lalu," katanya.

Minggu lalu, FAM mengingatkan pasukan yang gagal menyelesaikan proses berkenaan tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu Liga Super dan Liga Perdana musim 2021.

Ini bermakna, pasukan terbabit akan disingkirkan ke liga amatur atau lebih tepat Liga M3 pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 9:28 PM