Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Prinsipal pasukan Pertonas Yamaha Sepang Racing (Petronas Yamaha SRT), Datuk Razlan Razali memberi amaran buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk melakukan yang terbaik sekiranya mahu terus kekal dalam kancah permotoran dunia. Sekiranya dia gagal membuktikan kemampuan mungkin sukar bagi dirinya meneruskan perjuangan kerana apa yang penting ketika ini adalah meyakinkan penaja.

Kata Razlan, prestasi dan keputusan adalah dua komponen penting untuk mendapat keyakinan penaja.

''Kalau Hafizh nak tunggu sampai hujung tahun baru nak menyerlah itu sudah terlambat. Kita pun dah tak ada pelumba untuk dipilih. Itu sebab saya kata bila pertengahan saingan penting dari segi prestasi,''katanya.

Kata Razlan, perkara utama yang perlu dilakukan oleh Hafizh adalah buat yang terbaik pada setiap perlumbaan kerana ia penting untuk meyakinkan pasukan dan penaja.

''Sekarang ini kita berada dalam tempoh masa yang mana banyak pelumba mencari tempat dan kita pun dapat lihat beberapa pasukan sudah menandatangani pelumba mereka untuk tahun depan. Banyak tempat sudah diisi jadi agak sukar untuk Hafizh.

''Tapi bagi saya dia kena buat yang terbaik dan dapatkan keputusan kerana orang tak akan lihat berapa ramai peminat dia, hero Malaysia atau bangsa apa. Tak kisah apapun dia kena bagi buat yang terbaik.

''Kalau tak ada keputusan susah orang nak ambil dan kerajaan nak sokong pun susah bila prestasi yang tak menentu. Jadi dia kena buat yang terbaik pada tiap-tiap pusingan,'' katanya. Terdahulu Petronas Yamaha SRT mengumumkan menandatangani legenda MotoGP, Valentino Rossi untuk tempoh setahun dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh pasukan utama pengeluar Yamaha.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 11:02 PM