MAYAR ketika beraksi berdepan Karolina di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
MAYAR ketika beraksi berdepan Karolina di pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
AFP

Paris: Mayar Sherif, pemain tenis wanita pertama dari Mesir yang beraksi di undian utama Grand Slam, berkata, sokongan padu rakyatnya termasuk bintang bola sepak Liverpool, Mohamed Salah menaikkan semangatnya.

Salah memberikan insentif tambahan kepada Mayar untuk membolehkannya mencapai cita-cita menjadi pemain tenis berwibawa walaupun negara kelahirannya lebih menggemari sukan bola sepak.

Pemain ranking 172 dunia itu berjaya mencatatkan kemenangan di set pertama ketika berdepan pilihan kedua, Karolina Pliskova di pusingan pertama Roland Garros namun gagal mengekalkan rentak sebelum kalah 6-7 (9/11), 6-2, 6-4.

Mayar berjaya melepasi pusingan kelayakan di Paris untuk mengiringi pemain Tunisia, Ons Jabeur untuk mencatat rekod buat kali pertama dua pemain berketurunan Arab berjaya mara ke undian utama Grand Slam sejak 2002.

Walaupun tersingkir awal, Mayar, bekas pelajar Universiti Pepperdine, Amerika Syarikat itu mengakui dia mempunyai peluang luas untuk mempertingkatkan prestasinya.

"Saya sudah melihat di mana tahap saya dan tidak beraksi sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya memberi cabaran kepada salah seorang pemain terbaik di dalam dunia.

"Bagi Mo Salah pula, dia adalah salah seorang pemain bola sepak terbaik di dunia dan melihat seseorang yang berjaya memberikan sokongan kepada rakyatnya, ia membuatkan anda rasa lebih bersemangat. Ia membuktikan masih ada orang yang baik di luar sana dan orang yang berjaya juga sedia menghulurkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 12:40 AM