GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Untuk layak ke Olimpik bukan satu tugas yang mudah dengan hanya menukar jurulatih. Ia perlu melalui satu proses yang panjang dan memerlukan beberapa kriteria dalam membentuk satu pasukan yang mantap."

Itu kata bekas pemain kebangsaan negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang berasakan buat masa sekarang Malaysia belum sampai ke tahap untuk beraksi di Olimpik.

Kata Nor Saiful, skuad kebangsaan di bawah kendalian Arul Selvaraj memerlukan beberapa kriteria utama iaitu pemain berkualiti yang mempunyai disiplin untuk terus maju dan perlu bekerja keras.

"Kita memerlukan pemain bagus yang beraksi menggunakan otak. Kedua, kena ada pasukan yang bagus, bekerjasama sebagai satu pasukan kerana program untuk ke Olimpik itu bukan ambil masa sebulan. Ia perlu masa lama sekurang-kurangnya setahun dua juga untuk layak.

"Ketiga, apabila sudah ada pasukan yang bagus, sistem kejurulatihan pula perlu diteliti. Kena lihat taktikal pula. Bila semua perkara itu dah ada, kena ada program untuk berlatih ke luar negara.

"Perlu menentang banyak pasukan untuk dapatkan pengalaman. Untuk layak ke Olimpik kena bermain dengan pasukan yang bagus," katanya.

"Justeru sebelum bercakap mengenai layak ke Olimpik semua kriteria itu perlu dipenuhi barulah sesebuah pasukan itu boleh memikirkan proses untuk layak. Untuk layak ke Olimpik bukan mudah. Dari tahun ke tahun ia bertambah sukar.

"Kita kena mula cari pemain berkualiti yang ingin maju. Cari pemain ada ketrampilan. Itu yang kita kurang sekarang ini jika nak dibandingkan dengan zaman saya dulu. Jati diri pemain sekarang ini berbeza tak sama dengan pemain dulu," katanya.

Nor Saiful pernah bergelar jurulatih skuad remaja kebangsaan selama empat tahun sebelum kontraknya tamat awal tahun lalu.

Beliau turut menjadi tonggak utama skuad Olimpik dan tampil di temasya terbesar itu sebanyak tiga kali berturut-turut bermula di Olimpik 1992 (Barcelona), 1996 (Atlanta), 2000 (Sydney) dan seangkatan bersama pengurus skuad hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi yang mempunyai misi untuk memastikan Malaysian Tigers kembali layak ke temasya sukan terbesar dunia itu di Paris 2024 mampu dicapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 6:00 AM