Luis Suarez (tengah) menjaringkan dua gol pada penampilan pertama di Atletico. FOTO AFP
Luis Suarez (tengah) menjaringkan dua gol pada penampilan pertama di Atletico. FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone menolak dakwaan bahawa dia tidak akan menggandingkan Diego Costa dan Luis Suarez di barisan serangan.

Suarez, 33, menyertai Atletico selepas enam musim di Barcelona ketika Costa, 31, berkata dia mengalu-alukan pencabar tetapi akan tetap berusaha untuk mendapat tempat dalam pasukan.

"Sudah tentu mereka boleh beraksi bersama, pasti mereka boleh bergandingan," kata Simeone pada sidang media menjelang perlawanan liga berdepan Huesca awal pagi esok.

"Apa yang paling penting adalah kedua-duanya mempamerkan kemampuan terbaik mereka."

Suarez melakukan penampilan pertama berdepan Granada pada Ahad, dimasukkan selepas 71 minit ketika Costa dan penyerang muda, Joao Felix dikeluarkan.

Bintang Uruguay itu meledak dua gol dalam kemenangan 6-1 sehingga mencetuskan spekulasi bahawa Simeone tidak akan menggunakan khidmat kedua-dua pemain veteran itu pada satu masa.

"Diego mempunyai personaliti tersendiri dan Suarez dengan kepimpinannya adalah sangat penting bagi kami. Kedua-duanya berbeza." kata Simeone.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 8:57 AM