Mick Schumacher. FOTO Agensi
Mick Schumacher. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Mick Schumacher antara tiga pemandu akademi Ferrari yang diberikan peluang tampil pada perlumbaan Formula Satu (F1) hujung minggu akan datang.

Schumacher anak kepada juara tujuh kali Michael, dan pemandu British, Callum Ilott kedua-duanya akan memandu ketika sesi latihan pertama di Grand Prix Eifel pada 9 Oktober ini.

Pemandu Jerman, Schumacher akan memandu jentera Alfa Romeo dan Ilott pula bersama Haas.

Pemandu Russia, Robert Shwartzman pula akan memandu pada penghujung musim di Grand Prix Abu Dhabi namun tidak didedahkan dia akan memandu untuk pasukan mana.

Schumacher dan Ilott, kedua-duanya berusia 21 tahun, berada di kedudukan nombor satu dan dua dalam kejuaraan Formula Dua dengan baki dua perlumbaan sementara Shwartzman di tempat kelima.

Dijangkakan sekurang-kurangnya seorang daripada tiga pemandu akan dinaikkan pangkat ke perlumbaan F1 tahun depan, ketika Alfa Romeo dan Haas hampir pasti berminat mendapatkan khidmat mereka.

Sebagai persediaan untuk penampilan hujung minggu F1, tiga pelumba berkenaan akan memecut di litar ujian Fiorano Ferrari dengan menggunakan kereta F1 2018.

Schumacher berkata: "Saya sangat gembira untuk mendapat peluang dalam latihan bebas ini. Malah latihan pertama dalam Formula 1 hujung minggu akan berlangsung di hadapan penonton sendiri di Nurburgring membuatkan detik ini lebih istimewa.

"Untuk 10 hari akan datang saya akan melakukan persediaan sendiri yang mencukupi supaya dapat melakukan tugas terbaik buat pasukan dan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh pada hujung minggu itu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 11:01 AM