Tuanku Aishah Rohani (dua dari kiri) bersama pemenang Irene Tang (kanan). FOTO Ihsan SIGC
Tuanku Aishah Rohani (dua dari kiri) bersama pemenang Irene Tang (kanan). FOTO Ihsan SIGC
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya tidak menyangka mampu muncul juara kerana saingan amat mencabar dari peserta lain, namun saya gembira kerana pukulan tampak menjadi," kata Irene Tang.

Irene muncul juara keseluruhan Kejohanan Golf Piala Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan 2020, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, yang berlangsung di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC), Paroi, Ahad lalu.

Irene yang memiliki lima hadicap mengumpul 77 mata, untuk menewaskan 100 pencabar lain yang kesemuanya wanita.

Kategori Gross dimenangi Suzie Lee selepas mengumpul 79 mata manakala kategori Nett pula menjadi milik Jolene Wong, yang meraih 71 mata.

Juara setiap kategori membawa pulang trofi dan hadiah iringan berupa barangan elektrik dan hamper.

Pengurus SIGC, Mohd Yunus Ismail berkata, kejohanan yang bermula 2012 itu menerima penyertaan luar dugaan dari kalangan pemain amatur tempatan.

Menurutnya, Tuanku Aishah Rohani turut mencemar duli berangkat ke kejohanan itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Katanya, turut serta kalangan ahli keluarga baginda dan kenamaan lain termasuk Tunku Datin Anne Dakhlah Tuanku Munawir serta Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir Tuanku Jaafar.

"Kejohanan kali ini turut menawarkan hadiah pukulan selubang (hole in one) sebuah kereta Proton Persona dan seutas jam tangan Titoni tajaan syarikat swasta dan ternyata ia menjadi pembakar semangat setiap pemain, namun tiada pemenang bagi hadiah istimewa itu.

"Selain menyemarakkan semula aktiviti sukan golf tempatan pasca Covid-19, kejohanan juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 2:03 PM