BARISAN pemain Pahang meraikan kejayaan menewaskan Kedah minggu lalu. FOTO Ihsan Pahang FA
BARISAN pemain Pahang meraikan kejayaan menewaskan Kedah minggu lalu. FOTO Ihsan Pahang FA
Asrol Awang


Kuantan: Skuad Pahang optimis mampu mengutip mata maksimum pada baki dua perlawanan saingan Liga Super.

Justeru, misi pertama skuad Tok Gajah itu ialah mendapatkan tiga mata berdepan Perak Sabtu ini, sebelum bertemu Terengganu FC pada 10 Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, biarpun bakal menghadapi tugas sukar berdepan Perak, tiada yang mustahil untuk melakar kemenangan.

"Saya percaya dengan kemenangan ke atas Kedah minggu lalu, semua pemain berada pada prestasi terbaik dan bermotivasi untuk meneruskan rentak kemenangan itu.

"Bagi saya aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Makmur Sabtu ini perlu dimanfaatkan sebaiknya sebelum memikirkan perlawanan menentang TFC minggu depan.

"Ini kerana misi pasukan ialah untuk menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan terbaik," katanya.

Mengulas prestasi pemain muda, Mohammed Suffian memuji persembahan dan corak permainan yang ditunjukkan barisan pemain berkenaan dalam beberapa perlawanan lalu.

Katanya, komitmen tinggi yang dipamerkan pemain muda memberi kelebihan buat skuad itu yang kini mempunyai pilihan sekiranya ada pemain yang tidak boleh beraksi disebabkan kecederaan atau sebaliknya.

"Persaingan di kalangan pemain muda membantu membentuk pasukan yang lebih mantap sekali gus memastikan pasukan mencatat kemenangan setiap kali perlawanan," katanya.

Selepas sembilan perlawanan, skuad Tok Gajah menghuni kedudukan keenam liga dengan mengutip 13 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 8:57 PM