BARISAN pemain Kuala Lumpur akan bertemu Perak II di Stadium Manjung, Jumaat ini. FOTO Ihsan Kuala Lumpur Hawks
BARISAN pemain Kuala Lumpur akan bertemu Perak II di Stadium Manjung, Jumaat ini. FOTO Ihsan Kuala Lumpur Hawks
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas berjaya mengesahkan tiket ke saingan Liga Super musim depan, pasukan Kuala Lumpur kini mengalih tumpuan dengan misi memburu kejuaraan Liga Perdana.

Skuad Warga Kota dan Pulau Pinang yang akan beraksi di Liga Super akan bersaing sesama sendiri untuk menentukan pasukan mana yang lebih layak menjulang trofi Liga Perdana dengan masing-masing hanya dipisahkan tiga mata.

Lantas berbaki dua aksi untuk ditamatkan, Kuala Lumpur yang berada di tangga kedua dengan 20 mata mahu memungut mata penuh dalam dua aksi itu sambil berharap Pulau Pinang kehilangan mata.

Menurut pengendali Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, beliau gembira dengan kejayaan layak ke Liga Super kerana pemain pernah berjanji pada awal musim untuk kembali ke Liga Super selepas tersingkir pada musim lalu.

Katanya, baki perlawanan akan dimanfaatkan sebaiknya dan cuba merampas tangga pertama daripada skuad Harimau Kumbang.

"Berbaki dua perlawanan lagi, kami akan cuba mendapatkan enam mata maksimum untuk cuba mengejar kedudukan pendahulu liga.

"Kita tengok bagaimana peluang kita namun secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana kita akan ke Liga Super, musim depan," katanya.

Namun, Nidzam kurang berpuas hati dengan kerapuhan di barisan pertahanan terutamanya ketika aksi menentang Selangor II minggu lalu yang menyaksikan anak buahnya menang 5-4.

"Ketiadaan Paulo Josue dan Shukor Adan memang buatkan aksi kami kucar kacir kerana tiada jeneral yang boleh bagi arahan di atas padang dan kami akan analisis perlawanan ini sepenuhnya kerana terkejut bagaimana lawan boleh dapatkan tiga gol dalam tempoh yang singkat.

"Tidak pernah kami bolos empat gol dalam satu perlawanan setakat ini namun saya gembira pengalaman yang ada pada Indra Putra Mahayuddin menjadi penyelamat untuk kira raih kemenangan," katanya.

Selepas ini, Kuala Lumpur akan meneruskan aksi liga dengan menentang Perak II di Stadium Manjung, Jumaat ini manakala Pulau Pinang menanti kunjungan Kelantan United di Stadium Bandaraya juga pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 9:09 PM