QUARTARARO (kiri), Xavi dan McPhee menjalani latihan tanpa kelibat Khairul. FOTO Ihsan Razlan Razali
QUARTARARO (kiri), Xavi dan McPhee menjalani latihan tanpa kelibat Khairul. FOTO Ihsan Razlan Razali
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Prinsipal Pasukan PETRONAS Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali tidak berpuas hati dengan sikap pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi yang tidak mengikuti latihan bermotor bersama rakan sepasukan seperti Fabio Quartararo, Xavi Vierge dan John McPhee.

Pelumba negara itu bagaimanapun dilihat melakukan latihan berbasikal bersama pelumba Moto2 negara yang mewakili pasukan Inde Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah meskipun pasukan sudah menyediakan program latihan di bawah pelatih, Aleix Santacreu.

Razlan yang baharu tiba di Malaysia kelmarin, meluahkan kekecewaannya terhadap pelumbanya itu di dalam akaun Facebook selain menyatakan beliau dapat melihat perbezaan ketara cara kerja antara pelumba Eropah dan bakat tempatan.

"Saya tidak hairan dengan kritik ditujukan kepada saya," kata Razlan dalam salah satu komen bagi menjelaskan kemarahannya itu.

"Tetapi, ketika saya berada di Sepanyol kira-kira tiga bulan lalu, saya lihat perbezaan daripada segi kerja antara pelumba kita dan pelumba Eropah.

"Pasukan kita mempunyai enam pelumba dan kecuali KIP (Khairul Idham Pawi), semuanya menunjukkan peningkatan.

"Padahal kita sediakan semuanya secara sama rata. Ada yang menggunakan (khidmat Santacreu) seperti Xavi dan John, ada yang tidak seperti Jake (Dixon) yang duduk di UK (United Kingdom) dan ada juga yang mempunyai pelatih sendiri dan kadangkala Fabio pun turut menyertai latihan.

"Frankie (Franco Morbidelli) (berlatih) bersama Akademi VR46. Jadi bila keputusan tak menjadi, kita mengharapkan pelumba tidak menjadi seperti itulah yang kena bekerja lebih gigih dan mengikuti program disediakan.

"Lainlah kalau kamu sedang bersaing merebut gelaran dunia... tetapi John McPhee (yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan carta pelumba Moto3) pun ikut program juga. Namun peminat di luar sana hanya tahu melihat daripada sudut kenegaraan, patriotik dan bangsa Melayu saja. Mungkin pelumba berbakat itu ramai tetapi berapa yang sanggup memberi komitmen dan disiplin yang kuat?."

Khairul Idham mula menyertai pasukan pada 2019 dalam kelas Moto2 sebelum diturunkan ke kelas Moto3 tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 9:02 PM