MUN Yee bakal membuat penampilan kelima di Sukan Olimpik. FOTO Owee Ah Chun
MUN Yee bakal membuat penampilan kelima di Sukan Olimpik. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sering bertukar-tukar jurulatih dalam tempoh terdekat bukan satu masalah besar buat penerjun negara, Leong Mun Yee untuk melakukan persiapan terutama menjelang Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Menurut Mun Yee, sebenarnya setiap jurulatih mempunyai kelebihan tersendiri dan dia perlu akur dalam masa sama skuad terjun negara kekurangan tenaga jurulatih.

"Sebaik Li Rui datang ke Malaysia Mac lalu saya sudah di bawah bimbingannya. Bagaimanapun, sebelum itu saya di bawah Christian Brooker kerana kita kekurangan jurulatih. Malah di bawah Brooker sendiri juga sudah ramai penerjun.

"Kita sepatutnya memiliki seorang lagi jurulatih, namun disebabkan Covid-19, kehadirannya sedikit tertangguh," kata Mun Yee yang akan beraksi di Olimpik kelima tahun depan.

Apa pun halangan dan cabaran dalam skuad terjun negara, Mun Yee mengakui perkara itu tidak menghalangnya menumpukan perhatian bagi persiapan menjelang Olimpik Tokyo.

Halangan lain tahun ini ialah ketiadaan kejohanan Covid-19 di mana dia hanya sempat beraksi satu saja kejohanan antarabangsa iaitu di Siri Dunia di Montreal, Kanada hujung Februari lalu.

"Sehingga hujung tahun ini tidak akan ada kejohanan antarabangsa kecuali di peringkat kebangsaan itu pun belum pasti sama ada ia dapat dilangsungkan.

"Apa pun tumpuan dan perancangan saya hanya terarah kepada program tahun depan iaitu Piala Dunia pada April dan paling penting sekali tentulah Sukan Olimpik Tokyo," katanya.

Dia bakal mencatat rekod atlet kebangsaan paling banyak menyertai Olimpik iaitu lima kali jika beraksi di Tokyo, tahun depan.

Mun Yee bersama Pandelela Rinong berjaya menempat tiket ke Tokyo selepas meraih perak dalam acara 10 meter platform seirama di Kejohanan Dunia 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 7:13 PM