KHAIRUL Idham tidak akan bersama PETRONAS Sprinta Racing pada musim depan. FOTO PETRONAS SRT
KHAIRUL Idham tidak akan bersama PETRONAS Sprinta Racing pada musim depan. FOTO PETRONAS SRT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bakat yang dimiliki oleh pelumba negara, Khairul Idham Pawi tidak harus disia-siakan kerana dia adalah pelumba yang pernah mengharumkan nama negara apabila berjaya mengibarkan jalur gemilang sebanyak dua kali di Kejuaraan Motosikal dunia dalam saingan Moto3.

Ayah kepada pelumba negara itu, Pawi Omar amat berharap anaknya akan terus diberi peluang untuk meneruskan kerjayanya di Eropah dalam siri perlumbaan CEV.

"Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan teguran kepada Khairul selama ini.

"Saya ingin memohon ribuan kemaafan kepada semua pihak yang terbabit andai terkasar bahasa dalam situasi yang sukar ini.

"Sebagai seorang ayah sudah pasti saya inginkan yang terbaik buat anak saya dan sebagai seorang Melayu sudah pasti saya inginkan yang terbaik buat anak bangsa saya.

"Begitulah harapan saya terhadap Khairul selama ini. Di sini ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan PETRONAS SRT (Sepang Racing Team) atas layanan baik semua kakitangan yang bersama Khairul.

"Namun demi masa depannya dan sebagai seorang ayah saya harap Khairul akan diberi peluang sekali lagi untuk berlumba di CEV.

"Ini kerana CEV adalah tempat yang sesuai untuk semua pelumba belajar dan mengasah bakat," katanya.

Katanya, sebagai seorang ayah, beliau tidak mahu melihat bakat Khairul terhenti setakat ini saja kerana sudah banyak yang dikorbankan termasuklah wang ringgit dan juga masa.

"Saya akan terus berusaha memberi yang terbaik buat Khairul dan akan sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

"Apa yang menjadi kesilapan hari ini adalah menjadi pengajaran paling berharga di masa akan datang.

"Pada fikiran saya kesilapan paling besar adalah terlalu awal bagi Khairul beralih ke Moto2 (2017) kerana dia baru setahun di Moto3 jika di bandingkan dengan pelumba pelumba Eropah mereka kebanyakannya mengambil masa tiga keempat tahun di moto3.

"Adalah menjadi harapan saya dan mungkin juga rakyat Malaysia masih ingin melihat Khairul dan pelumba pelumba Malaysia berada di pentas dunia," katanya.

Untuk rekod tempat Khairul dalam saingan Moto3 akan digantikan dengan Darryn Binder, pelumba dari Afrika Selatan yang akan bergandingan bersama John McPhee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 11:40 PM