MANE melakukan percubaan ke gawang Ajax. FOTO AFP
MANE melakukan percubaan ke gawang Ajax. FOTO AFP
AFP

Amsterdam: Jurgen Klopp tabik semangat juang Liverpool yang beraksi tanpa Virgil van Dijk namun masih mampu menang 1-0 di Ajax dalam perlawanan pembukaan kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Skuad Klopp dijangka kehilangan Van Dijk untuk baki saingan musim ini selepas tonggak pertahanan tengah itu mengalami kecederaan lutut yang serius ketika menentang Everton minggu lalu.

Ramai menjangkakan Liverpool bakal bergelut tanpa Van Dijk tetapi pemain tengah Brazil, Fabinho tangkas beraksi bersama Joe Gomez di bahagian pertahanan.

Ketika Liverpool tidak berada pada tahap terbaik, tuah kerap menyebelahi mereka dan jaringan sendiri Nicolas Tagliafico selepas bola rembatan Sadio Mane terkena kakinya pada babak pertama memberikan permulaan positif dalam Kumpulan D buat Klopp.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan kepada juara 2019 itu yang mahu membuktikan tanpa Van Dijk mereka tetap bersemangat mempertahankan gelaran Liga Perdana dan pencabar kejuaraan Eropah.

"Ia tidak sempurna tetapi mereka berjuang dengan cemerlang,'' kata Klopp. "Kami tidak merebut peluang sepatutnya dan Ajax tidak bernasib baik apabila percubaan mereka terkena tiang.

"Apabila anda mendahului 1-0, apa sahaja boleh berlaku tetapi keseluruhannya saya gembira dengan permainan.

"Ia bukan bola sepak yang bersinar tetapi kami mahu tiga mata dan kami berjaya mendapatkannya.''

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 7:10 AM