AIDIL Shahrin terus mendapat kepercayaan KFA. FOTO NSTP
AIDIL Shahrin terus mendapat kepercayaan KFA. FOTO NSTP
Izzali Ismail


Alo Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah menyatakan persetujuan untuk mengikat Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak untuk terus mengemudi skuad Lang Merah pada musim depan.

Menurut sumber KFA, pencapaian skuad Kedah yang membanggakan dalam tempoh dua tahun di bawah kendalian jurulatih kelahiran Singapura itu menjadi faktor utama mengapa beliau masih menjadi pilihan terbaik untuk terus kekal membawa nama Kedah pada musim depan.

"Kita bersetuju memilih beliau untuk terus membimbing pasukan Kedah pada musim depan dan pada masa yang sama kita kini sedang menyiapkan kontrak untuk beliau tandatangani.

"Selain faktor pencapaian yang diraih beliau bersama pasukan, beliau juga dilihat sudah serasi dengan suasana di Kedah dan berjaya membentuk skuad yang mampu meletakkan nama Kedah selaku juara Piala FA, Naib Juara Piala Malaysia musim lalu dan kedudukan tangga kedua Liga Super musim ini.

"Perancangannya untuk terus mencungkil lebih ramai bakat muda Kedah yang boleh beraksi pada tahap profesional juga menjadi alasan mengapa KFA terus berminat untuk menyambung tugasnya dalam usaha membangunkan bola sepak di Kedah.

Sumber turut menyatakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak sudah pun dilakukan dan Aidil sudah bersedia untuk merancang dan merencanakan tugas yang diperlukan seterusnya.

"Kini dalam masa terdekat, beliau boleh terus memberi fokus untuk misi Kedah mengharungi Piala Malaysia pada musim ini yang bakal berlangsung pada 6 November depan.

"Mengenai perancang perlawanan yang akan ditempuhi Kedah untuk saingan Piala Malaysia ini, kita yakin Aidil memiliki ramuan yang terbaik untuk dijelmakan dan beliau akan melihat terlebih dahulu keputusan undian perlawanan yang akan dilakukan awal bulan depan.

"Saya yakin dengan pengalaman yang dimilikinya, beliau akan terus berusaha gigih untuk melakukan perancangan terbaik buat Kedah selaku naib juara musim lalu dalam menghadapi cabaran saingan piala berprestij yang dijangka sengit itu nanti.

"Dengan jawapan yang sudah di peroleh Aidil ini juga akan menambahkan lagi motivasi buatnya untuk melangkah lebih gemilang dalam kerjayanya di Kedah pada musim ini dan akan datang." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 6:24 PM