KWANG Sung dikatakan dirisik oleh Selangor sekali gus mengejutkan banyak pihak berkaitan perkara itu. FOTO Agensi
KWANG Sung dikatakan dirisik oleh Selangor sekali gus mengejutkan banyak pihak berkaitan perkara itu. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah benar Selangor kini sedang mengintai seorang pemain kebangsaan Korea Utara, Han Kwang Sung bagi menguatkan lagi barisan skuad Gergasi Merah pada musim hadapan?.

Jika benar perkara terbabit berlaku, Selangor dan kerajaan Malaysia kemungkinan berhadapan masalah diplomatik apabila didapati melanggar sekatan yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan terhadap individu berasal daripada Korea Utara.

Situasi terbabit bertiup kencang ketika ini apabila pemain berkenaan yang beraksi bersama kelab Al-Duhail di Qatar dikatakan dirisik oleh Selangor sekali gus mengejutkan banyak pihak berkaitan perkara itu.

Menurut sumber, pemain yang diberi jolokan Ronaldo Korea Utara itu mula menyertai Al-Duhail pada awal tahun ini selepas berkelana ke Itali sejak tiga tahun lalu.

"Sebelum ini, Al-Duhail dikenakan tekanan berikutan melanggar arahan PBB yang melarang mengambil individu daripada Korea Utara untuk bekerja sekali gus menyebabkan nama dia tiada dalam senarai pasukan terbabit dengan kali terakhir bermain pada Ogos lalu.

"Namun, ketika ini timbul pula desas-desus Selangor mahu mengambil pemain berkenaan untuk beraksi pada musim depan.

"Jika perkara terbabit benar, jelas akan menimbulkan masalah kepada Selangor dan kerajaan Malaysia kerana melanggar arahan PBB klausa 2397 perenggan 8 yang dikuatkuasakan pada 2017 bahawa anggota badan dunia itu dilarang mengambil individu daripada Korea Utara bekerja dalam apa jua sektor," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, pelanggaran arahan daripada PBB itu mungkin menyebabkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan Malaysia berhadapan masalah dengan perlu menjawab pelbagai isu berbangkit nanti.

"Kemungkinan ada antara persatuan sukan tidak peka terhadap pengambilan pemain luar kerana ada daripada negara tertentu jika kita mengambil mereka bermain akan berhadapan masalah seperti tidak dibenarkan menyertai kejohanan," katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan sememangnya pihaknya ada 'mengintai' pemain daripada Korea Selatan dan Utara untuk mengisi kekosongan kuota import pada musim depan.

Shahril berkata, ketika ini tiada pihak yang memberitahu berkaitan larangan mengambil pemain daripada Korea Utara selain turut menjelaskan bahawa negara berkenaan juga mempunyai anggota di Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Ketika ini kami belum lagi ada keputusan untuk mengambil pemain import untuk musim hadapan namun boleh mengesahkan ada merisik pemain daripada kedua-dua negara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:41 PM