HAIKAL (kiri) dan Wan Arif  terus berusaha mempersiapkan diri untuk memberi yang terbaik di kejohanan akan datang. FOTO Ihsan Facebook BAM
HAIKAL (kiri) dan Wan Arif terus berusaha mempersiapkan diri untuk memberi yang terbaik di kejohanan akan datang. FOTO Ihsan Facebook BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada apa yang boleh dikatakan selain menerima saja apa yang berlaku sebagai salah satu cabaran dan dugaan buat seorang atlet.

Itu yang dialami oleh beregu remaja nombor satu dunia ketika ini Wan Arif Wan Junaidi-Haikal Nazri yang terpaksa menerima hakikat bahawa Kejohanan Badminton Remaja Dunia bagi edisi 202 yang ditunda ke Januari 2021 terpaksa dibatal oleh Persatuan Badminton Dunia (BWF).

Mereka dikatakan menjadi harapan utama negara untuk memburu kejayaan di kejohanan itu namun kerana pandemik Covid-19 yang masih belum menemui jalan penyelesaian, semua itu terpaksa diterima dengan hati yang terbuka.

"Kecewa memang kecewa tapi nak buat macam mana. Saya kena terima ini adalah cabaran dan dugaan. Pandemik ini terjadi di seluruh dunia dan makin teruk jadi kenalah redha.

"Bagaimanapun saya dan pasangan (Haikal) akan terus berusaha mempersiapkan diri untuk memberi yang terbaik di kejohanan akan datang," katanya.

Terdahulu pasangan remaja negara ini layak untuk beraksi di playoff akhir berdepan tonggak pelapis pada 3 hingga 6 November di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas cemerlang di Cabaran Ranking Remaja 100PLUS.

Kata Arif, dia mahu memberikan yang terbaik dalam aksi playoff nanti untuk membuktikan kemampuan bagi menempah tempat ke skuad senior negara nanti.

"Saya dan Haikal sudah bersedia dari segi fizikal dan mental. Kami akan berusaha memberi yang terbaik bagi membuktikan kemampuan kami.

"Jika boleh kami mahu menang untuk memburu tempat ke skuad senior nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 11:42 PM