CHOONG Hann akui pemain muda menunjukkan semangat dan fokus. FOTO OWEE AH CHUN
CHOONG Hann akui pemain muda menunjukkan semangat dan fokus. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann nyata berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain remaja kebangsaan yang beraksi di 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Seramai 13 pemain terbaik dari kem remaja kebangsaan pimpinan Datuk Misbun Sidek yang menggalas tugas sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempamerkan aksi di luar jangkaan.

"Pemain muda menunjukkan semangat dan fokus seperti Wan Muhd Haikal Nazri-Wan Muhd Arif Wan Junaidi dan Justin Hoh dimana mereka mempamerkan kematangan berbanding usia dan ia sangat baik dan merupakan perkembangan yang positif.

"Untuk menjadi pemain yang handal, usia bukan faktor utama, tetapi kerajinan dan kemahuan untuk belajar adalah lebih penting. Sesiapa yang memiliki contoh atau teladan seperti ini perlu dicontohi pemain pemain lain.

"Kita tidak tahu potensinya sehingga kita meletakkan lawan yang lebih kuat. Tiada had untuk perkembangan potensi dan masih banyak yang boleh dipertingkatkan dan salah satunya keadaan fizikal dan kekuatan otot di mana ia memerlukan pelan jangka masa yang panjang," katanya.

Sementara itu, Datuk Misbun Sidek melihat anak didiknya mencapai apa yang diletakkan kepada mereka dalam pertandingan ini.

"Pembinaan dalam masa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini merangsang pemain untuk berada di satu tahap yang berbeza.

"Jika tanya saya, perseorangan lelaki ketika hari pertama mengalahkan pemain senior kecuali Jacky Kok yang tewas kepada Ter Chun Long walaupun sudah mendahului. Perkara itu adalah sebagai satu landasan, bahawa ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan lagi," kata Datuk Misbun.

Dalam pada itu, aksi terakhir hari ini Lee Shun Yang muncul juara bagi perseorangan lelaki selepas menutup hari terakhir dengan kemenangan ke atas Wyman Goh straight set 21-13, 21-10.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Shun Yang berkongsi 3 mata dengan Wyman Goh dan Justin Hoh dibezakan dengan rekod kemenangan dalam kesemua lima perlawanan yang diharungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 7:30 PM