KISONA tidak kecewa tewas di tangan Saina Nehwal di pusingan pertama biarpun pada permulaannya diberi kemenangan percuma. FOTO NSTP
KISONA tidak kecewa tewas di tangan Saina Nehwal di pusingan pertama biarpun pada permulaannya diberi kemenangan percuma. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih banyak yang perlu dilakukan oleh perseorangan wanita negara untuk mencabar barisan pemain terbaik dunia ketika saingan di Kejohanan Badminton Terbuka Thailand menyaksikan dua wakil negara, S Kisona dan Sonia Cheah terkandas di pusingan pertama.

Namun penyertaan di kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 1,000 pasti memberi pengalaman bermakna buat pemain negara dalam menimba pengalaman bertemu pemain yang berada di ranking jauh lebih baik.

Buat Kisona, dia tidak kecewa tewas di tangan Saina Nehwal di pusingan pertama biarpun pada permulaannya diberi kemenangan percuma.

Ini kerana pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina itu memang menantikan peluang bertemu antara pemain terbaik India itu untuk menilai tahap permainannya ketika ini.

Malah, Kisona sendiri mengakui betapa dia kecewa ketika dimaklumkan bahawa Saina menarik diri kerana disahkan positif Covid-19.

"Saya teruja kerana dapat menentang Saina. Biarpun kalah, tapi sekarang saya tahu di mana tahap permainan saya untuk saya belajar menjadi lebih baik.

"Saya pada mulanya kecewa bila tahu Saina tak beraksi kerana saya akan terlepas peluang untuk bertemu pemain utama dunia seperti dia. Ini kerana nak menyertai kejohanan yang bertaraf Super 1,000 ini pun bukan mudah.

"Biarpun kalah, saya tak sedih langsung ini kerana dengan menyertai kejohanan seperti ini saja saya dapat bertemu dengan pemain handalan dunia seperti Saina," katanya.

Tegas Kisona, dia menghargai peluang yang diberikan dan gembira biarpun tewas 15-21, 15-21 dalam tempoh 36 minit kepada pemain yang kini menduduki ranking ke-20 dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 11:33 PM