V Shem (kiri) dan Wee Kiong gembira dapat bermain dengan baik dan semua yang dirancang menjadi seperti yang diinginkan. FOTO Ihsan Instagram weekiongvshem
V Shem (kiri) dan Wee Kiong gembira dapat bermain dengan baik dan semua yang dirancang menjadi seperti yang diinginkan. FOTO Ihsan Instagram weekiongvshem
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi khabar gembira buat kem badminton negara apabila menempah tempat ke peringkat akhir Yonex Terbuka Thailand.

Pemenang pingat perak temasya Olimpik Rio itu hanya memerlukan 29 minit untuk menjinakkan beregu dari Indonesia Leo Rolly-Daniel Marthin 21-19,21-10.

Nyata pengalaman dan kombinasi mantap kedua-dua pemain negara itu memberi kelebihan buat mereka yang kini menghuni ranking ke-14 dunia menewaskan Rolly-Marthin yang dilihat banyak melakukan kesalahan mudah terutama di set kedua.

Bagi V Shem, dia gembira apabila apa yang dirancang menjadi dan berharap rentak konsisten itu akan diteruskan di peringkat akhir nanti.

"Perlawanan hari ini memihak kepada kami kerana pasangan lawan nampak sedikit gementar.

"Mereka banyak melakukan kesalahan mudah di set kedua. Mungkin apa yang mereka rancang tak menjadi.

"Tapi bagi saya dan Wee Kiong, kami gembira dapat bermain dengan baik dan semua yang dirancang menjadi seperti yang diinginkan," katanya ketika mengulas mengenai perlawanan menentang beregu ke-70 dunia itu.

Menanti mereka di pentas akhir sama ada pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin atau beregu Korea, Choi Solgyu-Seo Seung Jae.

Mengulas mengenai strategi yang akan digunakan nanti V Shem berkata, dia bersama Wee Kiong sudah bersedia untuk bertemu siapa saja dan akan merancang strategi terbaik untuk menentang pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 4:55 PM