Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (tengah) dikawal pemain Roma pada aksi Serie A. FOTO AFP
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic (tengah) dikawal pemain Roma pada aksi Serie A. FOTO AFP
AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol tetapi AC Milan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri buat pertama kali dalam saingan Serie A musim ini ketika Roma bangkit dari ketinggalan untuk mengikat kedudukan seri 3-3 di San Siro, pagi ini.

Perlawanan yang berlangsung dalam suasana stadium kosong selepas perintah berkurung kerana Covid-19, AC Milan turun tanpa penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dan penyerang muda Jens Petter Hauge, yang positif Covid-19.

Penjaga gol veteran dari Romania, Ciprian Tatarusanu, yang menyertai Milan September lalu, membuat penampilan sulung menggantikan Donnarumma, dan beberapa kali melakukan kesilapan dalam keputusan seri 3-3 menentang AS Roma itu.

Bintang legenda Sweden, Zlatan Ibrahimovic membuka jaringan buat Milan hanya selepas dua minit permainan, hasil hantaran cantik Rafael Leao.

Edin Dzeko yang tidak dikawal ketika sepakan penjuru Roma, menyamakan kedudukan 13 minit kemudian.

Milan turut bermula baik di babak kedua dengan pemain sayap Portugal, Leao sekali lagi melakukan umpanan gol dan kali ini ia disempurnakan Alexis Saelemaekers.

Bagaimanapun, pemain tengah Perancis, Jordan Veretout menyempurnakan sepakan penalti bagi gol penyamaan Roma pada minit ke-70 susulan kekasaran oleh Ismael Bennacer.

Ibrahimovic meledak gol keduanya dengan sepakan penalti minit ke-78 tetapi menyaksikan Roma sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Marash Kumbulla pada minit ke-83.

Milan dengan 13 mata kekal berada di puncak Serie A, dua mata di depan Napoli yang memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini, dan Sassuolo. Roma kekal di tangga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:36 AM