Casemiro (kanan) meledak gol penyamaan Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Borussia Moenchengladbach di Jerman. FOTO AFP
Casemiro (kanan) meledak gol penyamaan Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Borussia Moenchengladbach di Jerman. FOTO AFP
AFP

Monchengladbach, Jerman: Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid berhak mendapat satu mata selepas Casemiro menyamakan kedudukan pada lewat permainan ketika mereka bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk terikat 2-2 menentang Borussia Moenchengladbach, pagi ini.

Keputusan itu sekali gus mengelak kekalahan keempat berturut-turut gergasi Sepanyol berkenaan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Dua gol Marcus Thuram meletakkan skuad Gladbach di laluan untuk mencipta kemenangan gemilang sehingga Real bangkit menerusi jaringan Karim Benzema dan Casemiro - tiga minit pada masa tambahan - untuk menyelamatkan mata.

Namun Real kekal di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas kekalahan mengejut 2-3 di laman sendiri kepada Shakhtar Donetsk pada saingan pembukaan minggu lalu.

Skuad Zidane juga kalah kedua-dua perlawanan pusingan ke-16 musim lalu ke atas Manchester City.

"Pada saya keputusan seri ini bukan melegakan, ia keputusan yang berhak buat kami.

"Kami berdepan lawan yang banyak memberikan masalah kepada kami dalam dua atau tiga saingan sebelum ini, tapi kami tidak panik dan bangkit dengan perwatakan sebenar.

"Jika kami bermain seperti itu, kami boleh melakukan perkara yang hebat dan kami akan menang perlawanan - itu sudah pasti." kata Zidane.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:40 AM