AKSI Rodriguez ketika menentang Southampton. FOTO AFP
AKSI Rodriguez ketika menentang Southampton. FOTO AFP
Agensi

London: Bintang Everton, James Rodriguez kini bergelut dengan masa untuk kembali cergas menentang Newcastle Ahad ini selepas dilaporkan mengalami kecederaan testikel.

Pemain Colombia itu membantu skuad Carlo Ancelotti menduduki tangga teratas Liga Perdana sejak September lalu selepas berpindah dari Real Madrid.

Rodriguez meledak tiga gol dan mencipta tiga lagi bantuan jaringan untuk Toffees sebelum mengalami kecederaan misteri ketika seri 2-2 menentang Liverpool pada 17 Oktober.

Pertembungannya dengan Virgil van Dijk mengakibatkan pemain Amerika Selatan itu terlepas latihan minggu berikutnya.

Bagaimanapun, Ancelotti menyenaraikan Rodriguez berdepan Southampton hujung minggu lalu tetapi pemain berusia 29 tahun itu tidak berada pada tahap terbaik dan menyaksikan Everton tewas kali pertama di St Mary.

Rodriguez memuatnaik foto di Twitter menunjukkan dirinya menjalani rawatan menggunakan mesin NormaTec.

Ancelotti kini berharap bekas bintang Porto, Monaco dan Bayern Munich itu kembali cergas untuk berdepan Newcastle di tempat lawan Ahad ini.

Ancelotti ketika ditanya keadaan Rodriguez selepas kekalahan itu: "Saya rasa kami perlu memantaunya dalam masa beberapa hari lagi. Dia jelas keletihan pada penghujung perlawanan dan dia bekerja keras tetapi saya tak fikir ia masalah besar. Ia benar perlawanan yang sukar kepada semua orang.''

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 11:39 AM