Mohamadou Sumareh. FOTO File NSTP
Mohamadou Sumareh. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hukuman ke atas Mohamadou Sumareh bukanlah satu tindakan 'syok sendiri' atau mahu membalas dendam namun lebih kepada memastikan hak Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terbela.

Malah, hukuman terhadap tonggak naturalisasi negara itu dilaksanakan berlandaskan perkara atau undang-undang yang sudah termaktub memandangkan pemain berasal dari Gambia itu melanggar perjanjian kontrak membabitkan kedua-dua pihak.

Sumber pengurusan PBNP memaklumkan pemain berkenaan masih lagi mempunyai kontrak bersama Pahang malah tindakan Sumareh yang berhijrah ke Police Tero FC juga boleh dikatakan tidak sah.

Katanya, hukuman yang dikenakan kepada Sumareh dilakukan menerusi perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk pengurusan tertinggi PBNP sebelum ia dilaksanakan kepada pemain itu.

"Kami tidak peduli ada pihak yang mengatakan hukuman terbabit pelik atau syok sendiri kerana seperti sedia maklum Sumareh masih lagi mempunyai kontrak bersama Pahang.

"Hukuman itu memberi peringatan kepada semua pihak terutama pemain supaya menghormati majikan dan perjanjian yang sudah dipersetujui bersama.

"Pada masa sama, PBNP juga mahu semua pihak menghormati keputusan terbabit dan perkara itu dilakukan demi memastikan industri bola sepak kita tidak dicemari dengan insiden seumpama ini pada masa akan datang," katanya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan hukuman gantung dua tahun ke atas Sumareh daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan badan induk itu.

Sebanyak empat pertuduhan terhadapnya termasuk melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembagaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran PBNP.

Pertuduhan lain menyaksikan Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana merujuk perkara itu terus kepada Fifa (Disppute Resolution Chamber) tanpa terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber FAM (NDRC).

Pemain Harimau Malaya itu juga didapati bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain di mana dia gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3 hingga 28 Ogos selain kesalahan gagal menghadirkan diri pada aksi Liga Super antara Pahang bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos lalu.

Sementara itu, berkaitan cadangan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali supaya menarik balik kerakyatan yang dimiliki Sumareh, sumber terbabit memberitahu bahawa PBNP tidak mahu mencampuri urusan itu.

"Mengenai perkara itu, PBNP tidak mahu mencampuri kerana fokus sekarang ini memastikan hak kami terbela dan memberi peringatan kepada semua pihak supaya menghormati kontrak perjanjian," katanya.

Terdahulu tindakan Sumareh yang seolah mempersendakan PBNP dengan 'ikon' gelak ketawa di laman Story Instagramnya jelas mengundang kemarahan peminat bola sepak tanah air.

Malah, pengakuan pemain sayap itu yang mengakui hukuman penggantungan selama dua tahun yang diputuskan oleh PBNP sebagai yang melucukan nyata tidak menghormati keputusan bekas pasukan yang banyak berkorban terutama dalam memudahkan urusan permohonan kerakyatan Malaysia sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 6:16 PM