Ab Rasid (berdiri), berucap pada Majlis Jalinan Kasih di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Malik Muhamad
Ab Rasid (berdiri), berucap pada Majlis Jalinan Kasih di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun belum sampai sebulan mengambil alih Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, pengurusan pasukan itu sudah merangka strategi tersusun bagi memastikan TFC mampu menjadi kuasa dalam sukan nombor satu negara itu.

Selain itu pengurusan skuad berkenaan juga mahu meletakkan TFC antara pasukan tersohor di rantau ini bertepatan dengan misi 'Win Back Mission' serta menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai tarikan utama peminat dengan menjadikan kelab gergasi Itali, Juventus sebagai model.

Harapan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh pada Majlis Jalinan Kasih Bekas Pemain Bolasepak negeri bermula era 60-an hingga 2000 di SSMZA di hari ini.

"Kita berhasrat untuk mengumpul semua pengalaman dan mengambil aura, rekod, semangat dan juga kesungguhan bekas pemain untuk disuntik ke dalam pasukan TFC.

"Selain itu cadangan dan pandangan mereka sebagai bekas pemain turut berguna untuk TFC Sdn Bhd jadikan sebagai panduan untuk mengorak langkah menjadi pasukan terbaik di rantau ini selain mengembalikan nostalgia dan kejayaan pasukan negeri dalam pentas Piala Malaysia.

"Kita juga merancang sediakan galeri atau muzium bola sepak di SSMZA untuk tatapan pelawat serta penyokong boleh merasai 'stadium tour' seperti kelab Juventus sebagai contoh, lagipun warna jersi TFC hitam putih ini sinonim dengan kelab Liga Itali itu.

"Kita akan berusaha untuk jadikan stadium ini sebagai tempat himpunan anak muda sekali gus mampu menjana pendapatan TFC melalui program yang akan dilakukan.

"Setakat ini kita sudah mula dengan pelan tindakan cuma pelaksanaannya masih dalam proses transisi daripada persatuan kepada kelab, Insya Allah jika semuanya selesai kita akan mulakan langkah berkenaan," kata Ab Rasid ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Pada majlis itu seramai 70 legenda bola sepak negeri hadir termasuk nama besar seperti bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim selain Datuk Syed Abu Bakar Abdullah, Abdullah Mohamad, Badrulhisham Abdullah, Mat Sedek Wahab, Zubir Ibrahim, Hairuddin Omar, Zulharisan Awang dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:34 PM