SAFAWI (tengah) memaklumkan dia kemungkinan disenaraikan pada perlawanan hujung minggu ini seterusnya berpeluang bermain untuk pasukannya. FOTO Ihsan Portimonense
SAFAWI (tengah) memaklumkan dia kemungkinan disenaraikan pada perlawanan hujung minggu ini seterusnya berpeluang bermain untuk pasukannya. FOTO Ihsan Portimonense
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah hasrat peminat bola sepak negara untuk melihat penampilan pertama tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid terlaksana?

Situasi terbabit kemungkinan akan menjadi kenyataan apabila Safawi dijangka disenaraikan kali kedua apabila Portimonense dijadualkan bertemu UD Leiria pada aksi pusingan ketiga Piala Portugal awal pagi Sabtu ini.

Difahamkan perlawanan Piala Portugal itu sering dijadikan sebagai medan kepada Portimonense menguji pemain baharu dan muda dalam pasukan seterusnya memantau pencapaian mereka setakat ini.

Safawi ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan dia kemungkinan disenaraikan pada perlawanan hujung minggu ini seterusnya berpeluang bermain untuk pasukannya.

"Jika tiada halangan kemungkinan perlawanan hujung minggu ini saya berpeluang untuk bermain sebagai pemain gantian.

"Namun, perkara itu terserah kepada barisan jurulatih dan ketika ini saya giat menjalani latihan untuk perlawanan berkenaan," katanya, di sini.

Sebelum ini, peminat bola sepak negara mula menyuarakan kebimbangan di atas karier Safawi Rasid yang mungkin terkubur awal sekiranya masih kekal di Liga Portugal.

Kebimbangan itu diluahkan peminat di laman Facebook rasmi kelabnya, Portimonense SC yang tewas 3-1 kepada FC Porto di mana Safawi hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Kegagalan meraih minit permainan bersama skuad utama sejak tiba di kelab itu pada 4 Oktober lalu, nyata menghadirkan kegelisahan di kalangan peminat yang setia mengikuti perkembangan Safawi.

Hal ini bermakna, kali keempat bintang Harimau Malaya itu tidak dapat beraksi selepas diketepikan pada aksi menentang Maritimo pada 17 Oktober lalu diikuti perlawanan bertemu Tondela dan Santa Clara minggu lalu.

Begitupun, kekurangan minit aksi itu ditampung bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense SC apabila dia beraksi selama 56 minit sebelum ditukarkan namun ia dilihat masih tidak memadai buat pemain yang meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 10:24 PM