AB Ghani berkata sekiranya kelab gagal menyediakan bukti kewangan, pasukan terbabit boleh dikenakan denda. FOTO NSTP
AB Ghani berkata sekiranya kelab gagal menyediakan bukti kewangan, pasukan terbabit boleh dikenakan denda. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) diminta untuk berbelanja mengikut kemampuan seperti mana yang digariskan dalam Program Kawalan Ekonomi (ECP) atau, kemungkinan berdepan tindakan berat daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menerusi pengenalan ECP, 22 pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana pada musim depan perlu bijak menguruskan kewangan mereka dengan lebih tepat dan berkesan terutamanya dalam soal pembayaran gaji pemain.

Lebih tepat, ECP dilihat sebagai langkah terbaik menangani masalah bebanan hutang khususnya tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, sebaik pendaftaran pemain pada jendela pertama ditutup nanti, setiap pasukan perlu mengemukakan bukti sumber kewangan kepada MFL untuk disemak dan diluluskan oleh pihaknya.

Namun, sekiranya kelab gagal menyediakan bukti kewangan, pasukan terbabit boleh dikenakan denda seperti halangan pembelian pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang dibuka pada pertengahan musim.

"Setiap pasukan kena ukur baju pada badan sendiri, mesti ikut kepada kemampuan lebih-lebih lagi lepas ini semua pasukan sudah bergerak secara FC atau kelab tanpa FA (Persatuan Negeri).

"Walaupun kita ada ECP yang tertangguh sebelum ini, ia akan dikuatkuasakan dan mungkin untuk peringkat awal jendela pertama ini, kita tak ada mengehadkan (jumlah kewangan yang dibenarkan untuk menawarkan gaji).

"Tetapi apabila pendaftaran pertama ini bermula nanti, di peringkat kita akan tahu perbelanjaan pasukan-pasukan. Apabila sudah tahu, di peringkat ECP nanti akan hantar surat kepada semua kelab untuk mengemukakan bukti penajaan atau sumber kewangan mereka.

"Contohnya kalau perbelanjaan dalam RM10 juta, jadi kalau ikutkan RM10 juta itu adalah perbelanjaan gaji pemain dan pegawai sahaja untuk semusim, maka RM15 juta mungkin kos keseluruhan sekali dengan operasi untuk kelab terbabit.

"Jadi mereka perlulah menghantar bukti-bukti penajaan ataupun hasil daripada mana duit itu diperoleh untuk memastikan tidak berlaku gaji sangkut, tak bayar KWSP, tak bayar LHDN dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ketika ini, pasaran Liga-M sedang hangat berlangsung dengan beberapa pasukan dilihat rancak berbelanja dengan memburu pemain-pemain baharu bagi menguatkan pasukan masing-masing untuk saingan musim hadapan.

Antara yang agresif menyediakan pasukan adalah Selangor, Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan beberapa pasukan lagi.

Jelas Ghani lagi, pihaknya akan mengadakan sesi taklimat berkenaan ECP tidak lama lagi kepada semua pasukan.

"Banyak taklimat yang akan dibuat kepada kelab nanti sebab kelab ini majoritinya adalah orang baharu, di mana orang-orang dalam FA atau MB (Menteri Besar) yang menaungi pasukan sebelum ini tak boleh lagi pegang jawatan dalam FC.

"Tetapi mereka ini (ahli Exco FA) cuma boleh jadi Lembaga Pengarah atau Pengerusi sahaja. Nak jadi CEO atau berada dalam bahagian pemasaran tak boleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 11:06 PM