Bruno Suzuki (kiri) meletakkan harapan tinggi untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga M musim depan. FOTO Ihsan TFC
Bruno Suzuki (kiri) meletakkan harapan tinggi untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga M musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki meletakkan harapan yang tinggi agar impiannya untuk terus beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) tercapai.

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun kini masih menunggu keputusan muktamad daripada pihak pengurusan skuadnya sama ada khidmatnya masih diperlukan ataupun terpaksa mencari pasukan baharu.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan terkini, pemain yang sudah empat musim beraksi dalam saingan Liga M itu dikhabarkan sudah tiada dalam perancangan skuad The Turtles itu musim depan.

"Saya masih belum tahu lagi status bersama pasukan TFC II, setakat ini tidak menerima sebarang tawaran.

"Kini saya menunggu sesuatu, jika pasukan TFC II tidak lagi mahukan khidmat saya, tiada apa yang boleh saya katakan cuma harapan agar ada pasukan lain berminat kerana impian saya untuk terus kekal beraksi dalam Liga M musim depan," katanya.

Berdasarkan rekod, pemain berusia 30 tahun itu mula beraksi dalam Liga M pada 2017 bersama pasukan Negeri Sembilan sebelum menyarung jersi TFC II setahun kemudian sehingga musim ini.

Pemain yang memulakan karier bersama kelab Albirex Niigata dalam Liga Jepun selain pernah beraksi dalam Liga Singapura sebelum ini pernah dipinjam beberapa kali menyarung jersi pasukan Terengganu FC musim ini.

Selain Suzuki, turut berada dalam senarai pemain import yang masih samar sama ada dikekalkan ataupun sebaliknya ialah pemain tengah, Dechi Marcel dan Sanjar Shaakhmedov, penyerang Jordan Mintah serta pertahanan, Babacar Diallo manakala pemain pertahanan, Argzim Redzovic hampir pasti kekal bersama pasukan TFC II.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 11:53 AM