REDUAN (dua dari kiri) mengakui sukar merampas bola yang dikawal Maradona. FOTO NSTP
REDUAN (dua dari kiri) mengakui sukar merampas bola yang dikawal Maradona. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bola di kaki Diego Maradona ibarat gam yang melekat dan oleh sebab itu, bukan mudah buat mana-mana pemain terutamanya pihak lawan untuk merampas bola di kakinya.

Jelas bekas pemain kebangsaan dan Selangor, Reduan Abdullah, beliau sendiri sukar untuk merampas bersaing dengan legenda itu yang memiliki teknik dan kemahiran kawalan bola yang luar biasa.

Katanya, beliau yang beraksi untuk pasukan Pilihan Selangor XI menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka diminta untuk bermain di posisi tengah dan mengakui terpegun melihat kebolehan bekas ketua pasukan Argentina itu.

"Kaki dia (Maradona) dengan bola macam melekat dan susah hendak rampas bila bola di kakinya.

"Kita boleh lihat video lama ketika Piala Dunia 1986 di mana senang-senang saja dia menggelecek tiga atau empat pemain untuk melepaskan diri.

"Begitu jugalah sebenarnya situasi ketika saya bermain dengan beliau di Stadium Merdeka. Susah nak sekat dia, apatah lagi masa itu saya main di bahagian tengah," katanya ketika dihubungi.

Jelasnya lagi, pemenang Piala Dunia 1986 itu memang genius dan mempunyai fleksibiliti yang baik.

"Badan beliau sasa tapi fleksibiliti ketika bermain buatkan dia istimewa," katanya.

Awal pagi tadi, peminat bola sepak dunia dikejutkan dengan berita pemergian Maradona yang meninggal dunia ekoran masalah serangan jantung.

Susulan berita menyedihkan itu, Presiden Argentina, Alberto Fernandez serta-merta mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari di seluruh negara.

Sebelum berita mengejutkan itu, media Argentina melaporkan Maradona mengalami masalah kesihatan yang serius dan dipantau rapi doktor di rumahnya di utara Buenos Aires.

Beliau dilaporkan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan pada 30 Oktober, tetapi kemudiannya diumumkan menjalani satu pembedahan di bahagian kepala.

Maradona kemudianya dibenarkan pulang pada 12 November sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:21 PM