SAFAWI tersenarai buat kali ketiga dalam skuad utama. FOTO Ihsan Portimonense SC
SAFAWI tersenarai buat kali ketiga dalam skuad utama. FOTO Ihsan Portimonense SC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah penantian tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid untuk turun beraksi bersama skuad utama Portimonense SC akan berakhir malam ini.

Hal ini kerana, pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu sekali lagi tersenarai dalam skuad utama menentang Desportivo Nacional dalam Liga Primeira Portugal pukul 11 malam ini.

Ini adalah kali ketiga bintang muda negara itu tersenarai dalam skuad utama namun malangnya dua perlawanan sebelum ini hanya memanaskan bangku simpanan saja.

Namun, persoalannya sama ada episod malang terus menghantui Safawi hanya ditentukan pada malam ini sama ada khidmatnya akan digunakan atau sebaliknya.

Walaupun, pelbagai pihak 'menghentam' pemain terbabit dan pengurusan pasukan berikutan sehingga kini masih memanaskan bangku simpanan namun Ketua Pegawai Eksekutif kelab Robsen Pontes tampil memberitahu perancangan kelab terbabit terhadap Safawi.

"Safawi adalah pemain berkualiti dan jurulatih sedang membantunya untuk tampil dalam pasukan sekali gus meraih penampilan pertama dengan kelab.

"Semua pihak di kelab gembira dengan kemajuan Safawi dan kami hanya menunggu masa sesuai untuk menurunkannya," katanya.

Sebelum ini, peminat bola sepak negara mula menyuarakan kebimbangan di atas karier Safawi Rasid yang mungkin terkubur awal sekiranya masih kekal di Liga Portugal.

Kebimbangan itu diluahkan peminat di laman Facebook rasmi kelabnya, Portimonense SC yang tewas 3-1 kepada FC Porto di mana Safawi hanya sekadar memanaskan bangku simpanan.

Kegagalan meraih minit permainan bersama skuad utama sejak tiba di kelab itu pada 4 Oktober lalu, nyata menghadirkan kegelisahan di kalangan peminat yang setia mengikuti perkembangan Safawi.

Hal ini bermakna, kali keempat bintang Harimau Malaya itu tidak dapat beraksi selepas diketepikan pada aksi menentang Maritimo pada 17 Oktober lalu diikuti perlawanan bertemu Tondela ,Santa Clara dan UD Leira minggu lalu.

Begitupun, kekurangan minit aksi itu ditampung bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense SC apabila dia beraksi selama 56 minit sebelum ditukarkan namun ia dilihat masih tidak memadai buat pemain yang meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat Asia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 11:17 PM